Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MARA Pantau Keadaan, Prestasi Akademik Dan Kebajikan Putri Qisya - Asyraf Wajdi

12/07/2025 05:02 PM

JITRA, 12 Julai (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memantau keadaan dan prestasi pembelajaran Putri Qisya Nur Izzat, 12, anak sulung mangsa tragedi lemas di Sungai Korok, yang kini dijadikan anak angkat agensi itu.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan memastikan kecemerlangan akademik murid itu dapat dikekalkan agar berpeluang melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Beliau masih dalam tahun enam ketika ini. Kita akan bantu beliau kekalkan prestasi cemerlang dan menyediakan tuisyen khas untuk membantunya membuat persediaan menghadapi ujian kemasukan ke MRSM.

“Kita akan pantau dari sekarang agar impian beliau untuk ke MRSM tercapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu 2025 di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata pihaknya turut mengarahkan Pejabat MARA Negeri Kedah untuk bertemu dengan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru di Alor Setar, tempat Putri Qisya bersekolah, bagi membincangkan bentuk bantuan bersesuaian.

“Kita harap prestasi pelajarannya tidak terjejas akibat tragedi ini. Bukan mudah untuk seorang anak kecil menghadapi musibah sebesar itu, sebab itulah saya nasihatkan beliau supaya terus berusaha mencapai cita-cita, demi memenuhi harapan dan wasiat kedua ibu bapanya,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata MARA akan menjaga kebajikan Putri Qisya sebagai anak angkat agensi itu sehingga ke peringkat universiti.

Putri Qisya sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran di MRSM selepas tamat tahun enam, demi merealisasikan impian arwah ibu dan bapanya.

Beliau merupakan anak sulung pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang dijumpai maut bersama empat anak mereka di dalam kereta Proton Iswara yang dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok, dekat sini Isnin lalu.

Empat anak mereka yang turut terkorban adalah Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan