Oleh Balqis Jamaludin
KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Di satu sudut reruai Kraftangan Malaysia pada Program MADANI Rakyat (PMR) Terengganu, kelihatan seorang wanita berusia begitu tekun menjalin helaian daun mengkuang berwarna menjadi sehelai tikar.
Meskipun wajah dan tangannya sudah dipenuhi garis usia, penglihatannya masih tajam dan jari-jemarinya tetap tangkas menganyam kelarai, hasil seni warisan yang kian dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pengusaha kraf tangan, Asmah Ismail, 64, mengakui kemahiran menganyam mengkuang semakin pupus kerana kurang diminati golongan muda yang menganggap pekerjaan itu tidak berdaya saing dari segi pendapatan.
“Kita kekurangan pengusaha kraf mengkuang. Setahu saya, kini hanya tinggal dua orang termasuk saya yang masih aktif menganyam secara sepenuh masa. Yang lain hanya buat sambilan.
“Mungkin kerana prosesnya yang memerlukan ketelitian dan kesabaran, membuatkan ramai anak muda tidak berminat untuk menjadikannya sebagai kerjaya,” katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Payang di sini, sempena PMR Terengganu.
Asmah yang sudah menganyam sejak 44 tahun lalu berkata, produk berasaskan mengkuang seperti beg tangan, perhiasan rumah, tikar dan bunga telur kini semakin mendapat permintaan tinggi sehingga membolehkannya meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan.
Akibat tidak menang tangan memenuhi tempahan, beliau kini menggaji tujuh pekerja, terutama ketika berlangsungnya majlis atau program besar, sama ada di Terengganu atau luar negeri.
“Kalau dulu produk mengkuang hanya terhad kepada kipas, selipar dan rombong (bakul), tapi sejak saya ceburi bidang ini, saya kembangkan rekaan kepada beg tangan, bunga telur, beg fail dan pelbagai lagi,” katanya.
Asmah yang mewarisi kemahiran itu daripada ibu dan neneknya turut menggunakan lebih 40 jenis motif dalam anyamannya termasuk Motif Tapak Harimau, Motif Bunga Cengkih dan Motif Cik Kedah Bersila.
Beliau bersyukur kerana masih ramai pencinta seni yang sanggup membayar harga tinggi untuk produk berasaskan mengkuang, termasuk tikar bersaiz sederhana yang dijual pada harga RM250 sehelai.
“Kalau orang itu betul-betul minat seni, mereka takkan tawar-menawar. Pernah juga saya jual tikar besar dengan harga RM800,” katanya yang mengusahakan bengkel di halaman rumahnya di Kampung Rhu Rendang, Marang, selain turut mengendalikan kursus anyaman kepada individu berminat.
Beliau menyifatkan penganjuran PMR Terengganu sebagai platform terbaik untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang anyaman mengkuang.
Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu Md Azrul Hussein berkata industri anyaman mengkuang kini kebanyakannya diceburi pengusaha berusia lebih 50 tahun.
“Kita ada sekitar 20 pengusaha anyaman mengkuang di Terengganu, dan majoritinya sudah berusia. Hanya dua atau tiga orang sahaja daripada golongan muda,” katanya.
Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang bermula Khamis lepas berakhir hari ini dengan majlis penutup disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial