WASHINGTON, 12 Julai (Bernama-dpa) -- Keputusan sebuah mahkamah Amerika Syarikat telah menyekat sementara usaha Presiden Donald Trump untuk menguatkuasakan tindakan keras terhadap pendatang tanpa izin di selatan California, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Seorang hakim persekutuan di negeri itu pada Jumaat mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menghentikan penahanan pendatang di wilayah itu tanpa syak wasangka yang munasabah terhadap sebarang salah laku.
Menurut keputusan itu, pegawai penguat kuasa tidak lagi dibenarkan menahan individu berdasarkan etnik, bahasa atau pekerjaan mereka.
Hakim Daerah AS, Maame Ewusi-Mensah Frimpong turut mengarahkan jabatan berkenaan merangka garis panduan bagi membantu pegawai menentukan syak wasangka munasabah di luar faktor seperti "rupa bentuk kaum atau etnik", bahasa atau loghat pertuturan, pekerjaan atau lokasi mereka.
Dalam keputusan kedua, mahkamah turut mengarahkan agar mereka yang ditahan diberi akses kepada peguam.
Keputusan hakim itu hanya terpakai di Los Angeles dan kawasan lain di selatan California. Kes itu difailkan oleh Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) bagi pihak individu yang didakwa ditahan tanpa sebab munasabah.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial