ALOR SETAR, 12 Julai (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan peruntukan RM1.15 juta untuk kerja menaik taraf dan pembaikan menyeluruh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu di Jitra pada tahun ini.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi menaik taraf peralatan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perabot di blok akademik dan kerja-kerja pengalisan air.
Beliau berkata turut dilakukan menaik taraf kawasan ampaian, laluan pejalan kaki, gelanggang sukan dan kemudahan riadah.
“Sebanyak RM180,000 pula diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan asrama dan kemudahan pelajar, siling, tandas, almari, tangki air, kebuk wasap, kolam tadahan, dapur dewan selera dan kawalan makhluk perosak selain pemasangan sistem UPS Server bernilai RM50,000.
“Tambahan itu, RM70,000 diperuntukkan untuk penyelenggaraan elektrik dan kemudahan asas lain serta RM50,000 bagi penyelenggaraan kuarters guru,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Asyraf Wajdi berkata beliau menerima banyak komen daripada ibu bapa di laman media sosialnya supaya meninjau ke MRSM Kubang Pasu walaupun pernah berbuat demikian pada tahun lepas susulan terdapat beberapa maklum balas berkaitan isu bekalan elektrik.
“Kebetulan hari ini saya di Kedah, saya berpeluang #Terjah bagi meninjau dan memastikan tindakan segera diambil.
“Ini bukti jelas bahawa MARA tidak pernah alpa dalam menjaga kebajikan pelajar dan guru demi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif dan selamat,” katanya.
Beliau berkata pengurusan maktab itu juga diminta menyegerakan kerja-kerja pembaikan demi keselesaan para pelajar dan guru.
Asyraf Wajdi berkata pihaknya akan terus memantau agar segala projek yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada warga MRSM Kubang Pasu seterusnya melahirkan suasana kondusif buat para pelajar dan guru demi menggapai kecemerlangan yang lebih gemilang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial