Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Pertimbang Hasrat Johor Majukan Tanah Untuk Bangunkan Rumah Mampu Milik

29/06/2025 05:07 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan hasrat kerajaan Johor untuk membangunkan tanah seliaan kementerian itu di Kempas bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya telah menerima cadangan berhubung perkara itu sekali gus menjelaskan ia akan dipertimbangkan sewajarnya.

"Ya, perkara tersebut dalam pertimbangan. Kita menerima cadangan dan akan mempertimbangkan sebaik dan sewajarnya," katanya ketika diminta mengulas hasrat kerajaan negeri itu pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dipetik berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah milik kerajaan yang berpotensi untuk dimajukan termasuk tanah di bawah seliaan KKM di Kempas.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dipetik berkata kerajaan negeri telah menghantar permohonan untuk membangunkan separuh daripada 161 hektar keluasan tanah berkenaan bagi membina 2,000 unit RMMJ.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kerajaan berhasrat membangunkan ekosistem kesihatan baharu bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.

Beliau berkata ia merupakan antara perkara yang diteliti dalam Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang ditubuhkan baru-baru ini.

"Kesemua ini (langkah yang dibuat) akan meletakkan satu ekosistem yang baharu, di samping apa yang kita lihat sebagai fokus kepada fasiliti awam dan untuk menangani kos inflasi," katanya.

Kementerian Kewangan dan KKM pada 24 Jun lepas menubuhkan JBMKKS dalam usaha meneruskan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan bagi menangani isu berkenaan.

Jawatankuasa itu menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah secara kolaboratif yang sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM sedang berusaha menangani isu kekurangan jururawat termasuk meningkatkan kemasukan jururawat pelatih dan bekerjasama dengan pihak swasta untuk mengisi kekurangan tersebut.

"(Bagaimanapun) perkara yang paling mustahak adalah meningkatkan moral dan semangat kerja juruawat. Ini isu kronik (kekurangan jururawat) dan tiada penyelesaian cepat, berikan kita sedikit masa menanganinya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan