KUCHING, 29 Jun (Bernama) -- Peserta warga emas Termizi Yusuf menjuarai edisi keempat Piala Kejohanan Catur Antarabangsa Malaysia Lions Untuk Orang Kurang Upaya (OKU) Wilayah Sarawak yang diadakan di sini hari ini.
Termizi, 69, membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM500, sebuah trofi dan sijil selepas menewaskan Ezwany Osman, 30, pada perlawanan akhir, manakala Goh Jian Jun meraih tempat ketiga pada kejohanan yang berlangsung selama sehari itu.
Ezwany menerima wang tunai RM300, manakala Goh membawa pulang RM200. Kedua-dua mereka turut menerima trofi dan sijil penghargaan.
Ketiga-tiga pemenang utama ini termasuk dalam kelompok 10 peserta lain yang akan beraksi pada pusingan akhir kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober depan.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-A2, Wilayah 1 dengan kerjasama Persatuan Catur Sarawak dan Persatuan Catur OKU Sarawak.
Gabenor Daerah Pertama Kelab Lion Antarabangsa Daerah 308-A2 Annie Ho Chui Leng dalam ucapan semasa majlis penyampaian hadiah berkata sebanyak 30 peserta terdiri daripada individu buta, pekak dan kurang upaya fizikal dari Kuching, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah dan Miri menyertai kejohanan ini.
“Kami berasa bangga menerima peserta yang pelbagai, termasuk 11 orang buta, lapan orang pekak dan 11 orang yang mengalami kecacatan fizikal.
“Mereka mewakili kepelbagaian budaya dan latar belakang etnik yang unik seperti Bidayuh, Cina, Iban, Kenyah, Melanau dan Melayu,”katanya.
Beliau berkata kejohanan ini menghimpunkan pelbagai generasi, dengan peserta termuda berusia 19 tahun dan paling tua berusia 69 tahun, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan merentas usia dan keupayaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial