ISKANDAR PUTERI, 27 Jun (Bernama) -- Johor dijangka menjadi negeri pertama meluaskan penggunaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sehingga ke peringkat pengguna akhir, bagi membolehkan setiap transaksi minyak masak peket bersubsidi direkod secara digital dalam usaha mengekang ketirisan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan sistem secara berperingkat itu bertujuan memastikan sistem berkenaan benar-benar stabil dan diterima baik oleh rakyat sebelum diperluas secara menyeluruh di negeri ini.
“Kita perlu rintis supaya sistem eCOSS ini dipanjangkan hingga ke peringkat pengguna. Johor dijangka menjadi negeri pertama setelah ujian pelaksanaan yang sedang dijalankan menerusi program Jualan Rahmah sejak tiga hingga empat bulan lepas.
“Pengguna perlu memuat turun aplikasi eCOSS dan mengimbas kod respons pantas (QR) setiap kali membuat pembelian minyak masak peket. Setakat ini, polisi kita kekal iaitu hanya warganegara dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan dan melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di sini hari ini.
Armizan berkata peluasan eCOSS bukan bertujuan mengurangkan subsidi minyak masak, sebaliknya sebagai mekanisme kawalan yang telus dan bersasar.
“Subsidi tidak dikurangkan tetapi melalui sistem ini, kita ada rekod jelas iaitu berapa kotak diterima peruncit, siapa yang beli, dan berapa yang dijual. Namun begitu, kita tidak akan tergesa-gesa (untuk melaksanakannya di Johor).
“Fokus kita ialah memastikan sistem ini benar-benar stabil dan diterima rakyat sebelum ia diperluas secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata pada masa ini sistem sedia ada hanya merekodkan pengagihan dari peringkat pembungkus semula hingga ke peruncit.
Pelaksanaan sistem sehingga ke peringkat pengguna itu, katanya dilihat penting memandangkan kementerian hanya mempunyai kira-kira 2,000 pegawai penguat kuasa bagi memantau puluhan ribu peruncit di seluruh negara.
“Sistem eCOSS akan turut mengesahkan identiti pengguna menerusi proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) menggunakan MyKad, bagi memastikan hanya warganegara layak menerima subsidi (membeli minyak masak),” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial