Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Integrasi Sekolah Menegak Dan Perumahan Ikhtiar Kurangkan Kos Pengangkutan - Anwar

11/06/2025 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Konsep sekolah menegak yang diintegrasikan bersama  perumahan dalam projek Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang dapat menjamin keselamatan pelajar selain mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggabungan elemen pendidikan dalam pembangunan perumahan itu merupakan satu ikhtiar Kerajaan MADANI untuk membina kawasan kejiranan yang bersifat ihsan dan memupuk pembangunan komuniti berteraskan nilai MADANI.

Beliau berkata prinsip ini merupakan fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan menyeluruh kepada rakyat dan bukannya pembangunan bersandarkan kemegahan binaan dan reka bentuk semata-mata.

“Elemen sekolah menegak yang bakal dimajukan ini, apabila diintegrasikan dengan pemajuan perumahan merupakan ikhtiar dalam memastikan keselamatan pelajar untuk ke sekolah serta saya percaya mampu mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Anwar berkata Kerajaan MADANI sentiasa memberi penekanan terhadap kelulusan yang pantas melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi serta dengan penglibatan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata projek berkenaan merupakan satu inisiatif melibatkan pemaju swasta Skyworld, bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman mampu milik.

“Saya dimaklumkan pembangunan itu turut dilengkapi dengan kemudahan asas dan fasiliti yang lengkap termasuk pembangunan sekolah dan taska, surau, ruang perniagaan serta kawasan landskap dan taman,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri sesi pembentangan konsep projek berkenaan bersama wakil pemaju di Putrajaya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan