KUANTAN, 19 Jun (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding pasaran.
Tinjauan Bernama di program berkenaan di Kampung Sungai Ular di sini hari ini mendapati penduduk tidak berganjak dari lokasi program meskipun hujan renyai.
Pekerja pembersihan Rozilawati Awang, 42, berkata beliau sememangnya menantikan program itu bagi membeli pelbagai barangan dapur pada harga sehingga 30 peratus lebih murah antaranya telur, bawang dan ayam.
“Saya memang beli banyak barangan bagi menjimatkan perbelanjaan keluarga kami yang berpendapatan sederhana,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Seorang juruteknik Muhamad Aizat Hakim, 30, berkata beliau berharap Jualan Rahmah MADANI diadakan secara berkala, iaitu dua bulan sekali supaya penduduk berpeluang mendapatkan pelbagai barangan berkualiti pada harga rendah sekali gus membantu meringankan beban mereka.
“Ini kali kedua saya berbelanja di Jualan Rahmah MADANI, memang penuh bakul dengan pelbagai barangan kerana di pasar raya sekalipun susah hendak dapat harga macam ini,” kata bapa kepada dua anak itu.
Bagi warga emas Nasir Mad, 67, program turun padang itu telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk setempat termasuk beliau yang tidak melepaskan peluang untuk membeli bahan masakan seperti ayam dan minyak.
“Ramai yang datang berbaris dari 9.30 pagi tadi, jadi saya pergi siapkan kerja dahulu sebelum datang ke sini semula, namun orang tetap ramai menunggu giliran kerana barang yang dijual sangat murah,” katanya.
Program yang bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu menawarkan antaranya ayam segar pada harga RM12.60 seekor, minyak masak lima kilogram (kg) (RM25), beras tempatan 10 kg (RM26) dan tepung gandum satu kg (RM2.40).
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung ( JPKK) Kampung Sungai Ular Badrol Hisham Mohamad berkata program hari ini merupakan kali ketiga dianjurkan di kawasan terbabit yang memberi manfaat kepada penduduk kampung berkenaan dan kawasan berhampiran.
Beliau berkata inisiatif kerajaan MADANI itu memberi peluang kepada penduduk luar bandar membeli pelbagai barangan pada harga murah sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga masing-masing.
“Saya berterima kasih kerana (kerajaan) memilih lokasi ini yang amat membantu penduduk yang rata-ratanya merupakan nelayan dan melakukan kerja kampung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial