KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Dakwaan bahawa agenda reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya sedang berjalan dengan konsisten.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata agenda itu bukan dilaksanakan hanya dalam sehari atau sekadar dalam kenyataan, sebaliknya dilakukan dengan tindakan berstruktur.
“Sejak awal pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau telah menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.
“Pendirian ini diterjemah melalui tindakan. Sebarang teguran dilihat sebagai peluang untuk menambah baik – dan pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Tunku Nashrul berkata seperti yang telah dibentangkan Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi MADANI, teras utama adalah untuk menaikkan siling, iaitu memperkukuh kekuatan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus meningkat.
Beliau berkata kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, berbanding tempat ke-34 tahun lepas adalah hasil komitmen berterusan dan pelaksanaan menyeluruh Kerajaan MADANI menerusi pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation.
Tunku Nashrul berkata ia merupakan prestasi terbaik negara sejak 2020 sekali gus membuktikan reformasi ekonomi dan birokrasi membuahkan hasil dan Kerangka Ekonomi MADANI terus memastikan ekonomi negara berada di landasan yang tepat.
“Kejayaan ini juga mencerminkan usaha kolektif dalam memperkukuh dasar fiskal, mempermudah urusan perniagaan, serta mempercepat reformasi penyampaian perkhidmatan awam – termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
“Sebagai contoh, indeks persepsi birokrasi negara telah melonjak 22 anak tangga – satu isyarat jelas bahawa reformasi sedang menunjukkan hasil yang nyata, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi turut diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial