Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

248 Bas Ekspres Di Sarawak Terima Sijil PPP - JPJ

30/05/2025 12:05 AM

KUCHING, 29 Mei (Bernama) -- Sebanyak 248 bas ekspres yang beroperasi di tiga terminal utama di Sarawak telah diberikan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata jumlah itu merupakan hasil pelaksanaan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan sempena musim perayaan 2025, yang berlangsung selama seminggu dan berakhir semalam.

Beliau berkata sijil PPP hanya dikeluarkan kepada kenderaan yang melepasi pemeriksaan keselamatan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.

“Tiada kompaun dikenakan hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan ke atas kenderaan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi penguatkuasaan di Terminal Bas Kuching Sentral malam ini.

Selain di Kuching, dua lagi terminal bas utama di Sarawak ialah di Sibu dan Miri.

Norizan berkata bas yang tidak memiliki sijil PPP tidak dibenarkan beroperasi dan boleh dikenakan tindakan, termasuk penahanan serta penyitaan kenderaan.

Ad Banner

“Jika didapati terdapat kekurangan seperti tayar tidak sempurna, pemilik perlu menggantikannya terlebih dahulu sebelum kenderaan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurut beliau, operasi khas itu membabitkan penyertaan 105 anggota JPJ Sarawak sebagai langkah mempertingkat keselamatan penumpang sempena sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, dianggarkan seramai 2,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas setiap hari melalui Terminal Bas Kuching Sentral untuk ke destinasi di seluruh Sarawak menjelang musim perayaan.

Terdahulu, Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan turut hadir meninjau operasi berkenaan bersama Norizan.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama JPJ Sarawak, LPKP Sarawak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan