Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 1.2 Juta Hektar Tanah Hak Adat Bumiputera Di Sarawak Sudah Diukur - Awang Tengah

28/05/2025 11:56 AM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat terhadap Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang sah, selaras dengan peruntukan undang-undang tanah sedia ada.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sejak pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu bermula Oktober 2010 hingga 30 April tahun ini, sejumlah 1,200,766 hektar atau 2,967,093 ekar telah diukur secara perimeter.

“Daripada jumlah itu, lebih kurang 935,760 hektar atau 2,312,263 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak. Kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat,” katanya ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini. 

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak berkata sejak 2017, pengukuran turut tertumpu kepada lot individu bagi pengeluaran surat hak milik di bawah seksyen 18 untuk kawasan yang telah diwartakan berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut.

“Sehingga 30 April tahun ini, sebanyak 99,438 lot individu berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 118,749 hektar atau 293,429 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18.

“Bagi mempercepat pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan lebih lancar,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata kerajaan Sarawak akan terus memastikan kesinambungan program berkenaan melalui penyediaan dana selain sokongan dana daripada kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan