Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JAN Kutip RM123 Juta Hasil Tidak Dibayar Susulan Pindaan Akta Audit

27/05/2025 07:10 PM

PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Jabatan Audit Negara (JAN) berjaya mengutip semula kira-kira RM123 juta hasil yang tidak dibayar susulan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang berkuat kuasa tahun lepas.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata jabatan itu juga berjaya mengesan projek infrastruktur yang tidak lengkap hasil kerjasama rapat dengan para juruaudit.

“… selepas akta itu dipinda, kami dapat membuat tindakan susulan terhadap banyak isu yang telah diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

“Kami membuat tindakan susulan terhadap kira-kira RM123 juta hasil yang tidak dibayar. Kami juga telah mengambil tindakan terhadap projek infrastruktur yang tidak dilaksanakan melalui pelbagai platform yang ada bersama juruaudit kami,” katanya semasa Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di sini hari ini.

Wan Suraya ialah seorang daripada ahli panel dalam sesi dialog peringkat tinggi bertajuk Enhancing Public Sector Auditing Through Follow-Up Audit” yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Audit Negara Azman Mahmood.

Dua lagi panel terdiri Pengerusi Suruhanjaya Audit Filipina Gamaliel Asis Cordoba dan Ketua Pengarah Audit VII Lembaga Audit Indonesia Pranoto.

Wan Suraya berkata pindaan akta juga memberikan kuasa kepada ketua audit negara untuk mengambil tindakan atau membuat syor rasmi sekiranya mengesan terdapatnya penyelewengan yang serius.

“Ini sebahagian daripada kuasa baharu yang diberikan. Saya juga ingin menyentuh mengenai usaha kami untuk memperkukuh kebertanggungjawaban melalui Parlimen, memandangkan laporan kami juga dibahaskan.

“Proses ini memastikan ketelusan dan memaksa kementerian serta agensi berkaitan memberi justifikasi terhadap tindakan atau ketiadaan tindakan. Kami mahu tahu apakah langkah yang akan diambil bagi menangani kelemahan atau ketidakcekapan yang dikenal pasti dalam laporan,” katanya.

Terdahulu, persidangan itu turut menampilkan ucaptama oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn yang disampaikan melalui mesej video.

Dalam ucaptama itu,  beliau menyentuh mengenai kredibiliti dan peranan penting juruaudit dalam sektor awam, swasta dan audit dalaman, sambil menyeru kerjasama yang lebih kukuh di peringkat serantau dan merentas sektor untuk membina profesion audit yang dipercayai dan kompeten.

Selaras dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini dan pelantikan Ketua Audit Negara Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN, JAN menganjurkan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 yang julung kali diadakan, bermula hari ini hingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Persidangan itu menghimpunkan 2,243 peserta dari sektor awam dan swasta, termasuk delegasi serantau dan antarabangsa serta beberapa ketua institusi audit utama dari ASEAN dan negara lain seperti Brunei, Filipina, Kemboja, Laos, Maldives, dan Yaman.

Bertemakan “Inclusive and Sustainable Auditing for a Progressive ASEAN’, persidangan ini menjadi platform strategik untuk pertukaran ilmu dan pengalaman bagi memperkukuh rangka kerja audit dalam menghadapi cabaran semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan