Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Kekal Teguh, Jadi Pemangkin Diplomasi Serantau - PM Anwar

02/06/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Malaysia kekal teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran global dan terus memainkan peranan sebagai pemangkin serta peneraju diplomasi serantau menerusi kepengerusian ASEAN 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun dunia sedang dirundung pelbagai cabaran, termasuk ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan, Malaysia kekal terpasak dengan kukuh.

“Malaysia menjadi antara negara yang terawal dan tangkas bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.

“Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, dengan penglibatan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.

Berangkat pada istiadat  itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Perdana Menteri turut menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini sebagai yang terbaik dalam sejarah ASEAN, apabila Malaysia sebagai Pengerusi berjaya mempertemukan tiga benua gergasi, iaitu negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN, dalam usaha menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarakkan ekonomi rakyat dan negara.

“Sidang ASEAN serta penganjuran LIMA (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi) membuktikan betapa semangat kerja berpasukan ialah kunci utama dalam usaha kita menterjemahkan hasrat dan cita-cita negara.

“Kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Langkawi serta kehebatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan seluruh jentera kerajaan serta swasta di Putrajaya dan Kuala Lumpur amat mengagumkan,” kata Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan percambahan peluang pekerjaan.

Selain itu, Anwar berkata peningkatan hasil agrotani dan produk tempatan, barangan buatan Malaysia dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak yang memperkukuh ekonomi negara.

“Dukungan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap inisiatif ini memperlihatkan semangat kebangsaan yang tinggi dan kesedaran terhadap peri penting sikap kemandirian dalam cabaran global yang tidak menentu ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan