Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat antarabangsa agar bertindak dengan tegas dan konsisten dalam menangani pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Dalam Ucapan Khas beliau pada Dialog Shangri-La ke-22 di sini, Anwar berkata skala kemusnahan, secara terang-terangan tidak mengendahkan norma kemanusiaan, serta kegagalan institusi global dalam menangani konflik tersebut, menuntut lebih daripada sekadar luahan simpati.
“Kita tidak boleh membiarkan kemarahan terpilih atau kelesuan strategik mengaburi kejelasan moral kita. Sesungguhnya, pembunuhan beramai-ramai di Gaza satu ujian terhadap kesedaran kolektif kita,” kata beliau.
Anwar turut menggambarkan landskap global semasa - dengan jumlah konflik bersenjata tertinggi sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua - sebagai satu detik yang serius dalam sejarah.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak berada di bawah satu ilusi mengenai cabaran keselamatan yang bakal dihadapi, sambil menyatakan bahawa kestabilan yang berkekalan perlu berdasarkan kepada asas yang kukuh, dasar yang jelas dan visi jangka panjang.
Anwar turut menegaskan bahawa ASEAN tidak bersikap pasif dalam menangani krisis di Myanmar.
Beliau berkata walaupun blok serantau itu tidak berniat untuk menentukan hala tuju politik negara tersebut, ASEAN tetap berpegang teguh kepada jangkaan yang digariskan dalam Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar.
“Pembinaan negara Myanmar mesti dipupuk menerusi keterangkuman, bukan pengasingan,” kata beliau.
Mengenai isu Laut China Selatan, Anwar berkata Malaysia secara berterusan bimbang mengenai potensi peningkatan ketegangan dalam kalangan negara penuntut di kawasan tersebut dan akan terus berinteraksi dengan semua pihak secara tenang, langsung dan konsisten.
“Kami tidak berminat untuk melihat ketegangan bertukar menjadi konfrontasi – apatah lagi di perairan yang begitu penting kepada keselamatan dan kemakmuran kami sendiri,” kata beliau.
Anwar berkata yang paling utama, Malaysia tetap teguh dalam pendiriannya yang berprinsip bahawa semua pihak mesti mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Sementara itu, Perdana Menteri turut memberi peringatan terhadap pembentukan pakatan yang boleh menjejaskan legitimasi multilateralisme, kerana sebuah rantau yang stabil mesti diasaskan kepada keterbukaan, ketelusan dan kerjasama yang berterusan.
“Kami tidak menolak rakan-rakan sehaluan untuk berbincang sesama sendiri. Tetapi pakatan yang membina tembok dan bukannya jambatan, yang mencetuskan persaingan senjata atau melemahkan legitimasi multilateralisme harus menjadi kebimbangan kita,” katanya.
Dialog Shangri-La, satu persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik, melibatkan penyertaan daripada 47 negara, termasuk 40 delegasi bertaraf menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan, serta ahli akademik terkemuka dari seluruh rantau ini.
Terdahulu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth, serta Presiden Boeing Global merangkap Naib Presiden Kanan Boeing Company Dr Brendan Nelson di luar sesi dialog berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial