Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Lancar Visi 2045 Tangani Trend Mega, Perkukuh Keselamatan Dan Keterangkuman

26/05/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) memperkenalkan elemen baharu merangkumi semua tonggak utama, menekankan keperluan kepada keterjaminan makanan, air dan tenaga yang lebih kukuh, pemerkasaan belia dan wanita, serta penyertaan kumpulan rentan dan terpinggir untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada pembangunan di rantau ini.

Langkah ini diambil apabila blok berkenaan mengenal pasti trend mega baharu yang dijangka membentuk hala tuju masa depan rantau ini termasuk ketegangan geopolitik di Indo-Pasifik, pendigitalan dan kesan terhadap masa depan pekerjaan, serta ancaman dalam jenayah siber dan kecerdasan buatan yang semakin meningkat.

Cabaran mendesak lain yang diketengahkan dalam ACV 2045 ialah perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, pandemik, peningkatan perlindungan perdagangan dan halangan terhadap perdagangan dan pelaburan, migrasi, penuaan masyarakat dan jurang pembangunan yang ketara.

Diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, ACV 2045, dokumen strategik jangka panjang, akan mencorakkan hala tuju masa depan ASEAN menjadi komuniti yang berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat menjelang 2045. Ia juga bertujuan membina kejayaan ASEAN 2025 dan bertindak balas kepada cabaran kini dan masa depan dengan aspirasi berani.

ACV 2045 memperkenalkan beberapa elemen baharu dalam tonggak utama ASEAN – Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosiobudaya, Ketersambungan dan Pengukuhan Institusi – untuk memperkukuh rantau dalam menghadapi transformasi global dan merebut peluang baharu.

Di bawah Komuniti Politik-Keselamatan, Visi berkenaan menyeru ASEAN supaya mengukuhkan kepusatan melalui mekanisme yang diterajui ASEAN, menyuarakan pendirian terhadap isu serantau dan global, serta mengesahkan semula komitmen bagi undang-undang dan orde antarabangsa berasaskan peraturan.

Ad Banner

Ia juga menyokong pelaksanaan penuh Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP) melalui kerjasama praktikal dan penglibatan inklusif.

Berkaitan ekonomi, ASEAN menyasarkan untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi global dan ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2045, ekonomi tunggal yang bersedia untuk masa depan, berteraskan pertumbuhan mampan dan tadbir urus baik.

Visi ini turut menggariskan keutamaan seperti mengukuhkan hubungan rantaian bekalan global,  meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan digalakkan bagi mengurangkan risiko rantau ini kepada ketidaktentuan luaran.

Ekonomi hijau dan biru juga menjadi teras transformasi ekonomi ASEAN, menumpukan kepada pembangunan mampan di daratan dan ekosistem lautan serta memperkukuh komitmen rantau ini terhadap tindakan iklim.

Dalam bidang sosiobudaya, ACV 2045 membayangkan ASEAN yang berpaksikan rakyat dan prihatin, menambah baik kualiti hidup yang bersifat menyeluruh, terangkum, mampan dan memupuk kesepaduan sosial. Elemen utama termasuk liputan kesihatan sejagat, transformasi pendidikan, peluang pekerjaan yang sesuai, dan penyertaan aktif komuniti.

Visi ini juga menyokong pemerkasaan wanita dan belia, menggalakkan identiti ASEAN yang dikongsi bersama, pemuliharaan warisan budaya dan kemajuan sukan untuk pembangunan dan perpaduan.

Sementara itu, dokumen berkenaan juga menyatakan bahawa ketersambungan kekal sebagai tonggak utama, dengan ASEAN menyasarkan integrasi fizikal dan digital yang lancar merentasi negara anggota.

“Visi ini menyokong pembangunan infrastruktur yang mampan, inovasi digital berterusan, logistik yang cekap dan pembandaran pintar melalui inisiatif Bandar Pintar ASEAN, sambil mengeratkan hubungan antara rakyat di rantau ini,” menurut dokumen berkenaan.

Pengukuhan institusi ialah asas penting dalam ACV 2045, dengan tumpuan baharu kepada membina Sekretariat ASEAN yang lebih responsif dan bersedia untuk masa depan, serta menambah baik penyelarasan di seluruh tonggak dan sektor.

Visi berkenaan merangkumi enam dokumen utama termasuk Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, dokumen utama Visi, dan pelan strategik untuk setiap tonggak Komuniti ASEAN dan Pelan Strategik Ketersambungan ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan