SEPANG, 28 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh hari ini berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi selama lima hari ke Malaysia, selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.
Pesawat khas yang membawa Chinh, isterinya Le Thi Bich Tran dan delegasi Vietnam berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.40 tengah hari.
Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) mengadakan kawalan kehormatan dalam satu majlis pelepasan rasmi di Kompleks Bunga Raya.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Duta Vietnam ke Malaysia Dinh Ngoc Linh turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri Vietnam dan delegasi.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Vietnam menyaksikan pertukaran tiga dokumen antara Malaysia dan Vietnam yang bermatlamat mengukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga, pendidikan dan integrasi serantau.
Malaysia dan Vietnam meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024.
Pada 2024, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Vietnam mencecah RM83.11 bilion dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion manakala import dari Vietnam berjumlah RM29.25 bilion.
Syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor dengan nilai pelaburan kumulatif melebihi USD13 bilion (RM55 bilion).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berakhir semalam selepas beberapa siri pertemuan peringkat tinggi bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian strategik.
Sepanjang dua hari, pemimpin ASEAN menyertai beberapa mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menandakan kali kelima negara memegang jawatan pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial