KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu segera mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan daya tahan kolektif, di tengah-tengah kancah gangguan global yang semakin sengit, termasuk perang perdagangan Amerika-China, perubahan iklim dan peralihan teknologi yang pantas, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata persaingan kuasa besar dan perubahan yang terhasil dalam aturan global, berpotensi mengganggu landskap serantau, kerana negara-negara ASEAN adalah antara negara yang paling terjejas akibat tarif yang dikenakan Amerika.
Mohamad menekankan keperluan untuk blok itu mendekati isu tersebut secara kolektif dan mengambil peranan aktif dalam mengharungi pergolakan pada tahun-tahun mendatang.
“Kita mesti manfaatkan detik ini untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, supaya kita dapat melindungi rantau kita dengan lebih baik daripada kejutan luar.
“Sambil kita menggerakkan usaha membina komuniti, kita mesti berhadapan dengan realiti bahawa usaha mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam ASEAN mesti dilihat sebagai keutamaan,” katanya semasa ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
“Sambil kita memajukan usaha membina komuniti, kita mesti berhadapan dengan realiti, yang mengurangkan pendapatan jurang dalam ASEAN, mesti dilihat sebagai keutamaan,” katanya semasa ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Mesyuarat tertutup itu dipengerusikan oleh Mohamad dan dihadiri Menteri-menteri Luar negara anggota ASEAN kecuali dari Myanmar, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung esok.
Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, dan Menteri Luar Timor-Leste Bendito Freitas yang turut serta sebagai pemerhati.
Mohamad berkata rantau ini turut bergelut dengan kesan perubahan iklim dan gangguan teknologi yang semakin pantas.
"Di serata dunia, suhu serta paras laut terus meningkat, dan kecerdasan buatan berkembang lebih pantas daripada tindak balas mana-mana kerajaan sekalipun. Isu-isu ini dijangka terus melanda di sekitar sini, terutama Asia Tenggara," katanya.
Beliau berkata oleh itu selain meningkatkan jumlah perdagangan serantau, beliau menyeru agar anggota ASEAN terus meningkatkan mekanisme yang memudahkan perdagangan intra-ASEAN.
Beliau berkata dengan mempelbagaikan perkongsian juga, ia akan memperkasakan perkumpulan itu untuk menangani kejutan masa depan yang disebabkan oleh faktor ekonomi luar.
“Kita mesti bertindak balas terhadap potensi kegagalan, akibat daripada gangguan dalam perdagangan global, secara bersama-sama dengan perpaduan dan autonomi strategik sebagai satu komuniti ASEAN.
“Usaha kolektif ini akan membolehkan ASEAN mengharungi cabaran, meminimumkan kesan terhadap rakyat kita, dan terus berkembang secara mampan dengan pemikiran masa depan,” katanya.
Mohamad turut menekankan bahawa Kepusatan ASEAN mesti terus membimbing rantau ini kerana ia terlibat dengan dunia yang lebih luas dan mengemudi dinamik antarabangsa yang kompleks.
Beliau berkata dalam dunia yang semakin terpolarisasi, ASEAN mesti memupuk model berasaskan dialog, kerjasama dan multilateralisme.
"Kita mesti kekal sebagai pemacu yang mencorakkan rantau kita. Hanya ASEAN yang bercakap bagi pihak Asia Tenggara. Bagi ASEAN, perpaduan ketika ini bertambah penting berbanding sebelumnya," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei, bersama-sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang Kemuncak dan mesyuarat berkaitannya ini dijangka menangani pelbagai isu mendesak serantau dan antarabangsa, dengan krisis yang berterusan di Myanmar kekal menjadi perhatian utama bagi negara anggota ASEAN.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial