Komentar Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Terjerumus dalam perang saudara sejak berdekad lalu, kemelut berterusan di Myanmar terus meletakkan negara Asia Tenggara itu dalam kedudukan yang amat sensitif dan rumit berbanding negara anggota ASEAN lain.
Myanmar sering digambarkan oleh media Barat sebagai satu daripada kelainan yang berterusan dalam satu daripada rantau paling aman di dunia, namun masih ada sinar harapan yang mula kelihatan di penghujung terowong.
Perkembangan ini mula ketara susulan beberapa usaha diplomatik yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sokongan negara-negara anggota ASEAN, yang menunjukkan potensi perubahan positif dalam situasi semasa.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Anwar pantas mengambil langkah untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, bagi melaksanakan usaha kemanusiaan di seluruh negara itu tanpa mengira kawasan dalam negara yang sedang bergolak itu.
Ironinya, gempa bumi dahsyat yang mengorbankan lebih 3,700 nyawa menjadi seakan hikmah tersembunyi apabila gencatan senjata bersyarat diisytiharkan antara pihak yang bertelagah.
Gencatan itu bukan sahaja membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada semua pihak, malah membuka jalan kepada ASEAN untuk mempergiat usaha ke arah penyelesaian damai dan inklusif, yang kini semakin mendapat momentum.
Perkembangan positif ini turut disusuli dengan pertemuan berasingan Anwar bersama Min Aung Hlaing di Bangkok dan juga pihak lawan mereka – Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang turut melibatkan Aung San Suu Kyi.
Kemampuan untuk berinteraksi dengan semua pihak, mencapai gencatan senjata serta memastikan bantuan kemanusiaan boleh disalurkan ke semua wilayah yang dikuasai mana-mana kumpulan, merupakan satu “kemajuan yang luar biasa”, kata Anwar.
“Kita bertemu mereka secara berasingan, tetapi kini sudah tiba masanya untuk mereka saling berbincang (antara junta dan pembangkang),” katanya dalam satu sesi bersama media menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Berkaitan pada 26 dan 27 Mei ini.
Terletak di barat laut Asia Tenggara, Myanmar menyertai ASEAN pada 1997 ketika masih berada di bawah pemerintahan junta tentera dan dibelenggu pelanggaran hak asasi manusia terhadap pelarian Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari Negeri Rakhine ke negara jiran dan seterusnya.
Rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan pemimpin sah yang dipilih rakyat daripada Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi, telah memburukkan lagi keadaan dan mendorong ASEAN untuk mengecualikan pemimpin junta daripada menghadiri sidang kemuncak serta mesyuarat menteri.
Namun begitu, pegawai kanan Myanmar masih dibenarkan menghadiri mesyuarat persediaan Sidang Kemuncak ASEAN termasuk di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ketika ini.
Konflik bersenjata yang berterusan dan didakwa telah meragut lebih 50,000 nyawa amat membimbangkan jiran-jiran Myanmar dalam ASEAN.
Sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, dua mesyuarat akan diadakan berkaitan konflik Myanmar.
Ini termasuk rundingan tidak rasmi dan lanjutan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara iaitu penghentian segera keganasan, dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, bantuan kemanusiaan ASEAN dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk menemui semua pihak.
Langkah ini dilihat sebagai satu kemajuan penting berlandaskan prinsip kemanusiaan dan usaha jangka panjang ke arah kestabilan serantau.
Ia juga memberi peluang kepada Myanmar untuk kembali bekerjasama menyelesaikan krisis dalaman buat selama-lamanya.
“Menjalin semula hubungan dengan ASEAN sebenarnya boleh membantu Myanmar memulihkan ekonominya. Tetapi kerajaan di sana perlukan jaminan bahawa tindakan kita bukan bersifat campur tangan politik,” kata Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tan Chee Meng.
Beliau berpendapat ASEAN boleh menyokong pembangunan ekonomi dan perniagaan di Myanmar, tetapi harus mengelak isu politik kerana ia boleh dianggap sebagai campur tangan dan menjejaskan kuasa kerajaan tentera.
“ASEAN perlu menggunakan kuasa lembut dengan bertindak sebagai satu kumpulan yang bersatu serta menunjukkan keupayaan menangani cabaran dalaman,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak ASEAN di sini.
Menurut Tan risikonya adalah tinggi, kegagalan menyelesaikan konflik Myanmar dengan berkesan boleh menjejaskan imej keeratan ASEAN.
Sementara itu, pihak junta perlu sedar bahawa negara mereka kini berdepan masalah ekonomi serius yang menuntut mereka bekerjasama dengan negara anggota ASEAN selaku pendamai demi kelangsungan negaranya.
Meskipun kerajaan tentera mahu mengekalkan kuasa, mereka perlu menjamin kemakmuran ekonomi.
Jika tidak, “mereka berisiko kehilangan sokongan awam dan memburukkan lagi ketegangan politik yang sudah pun rapuh,” kata Tan.
Meskipun ekonomi Myanmar mencatat sedikit pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sentimen pelaburan kekal lemah pasca pandemik akibat ketidakpastian peraturan dan ketidakstabilan politik.
Myanmar perlu menyedari kesan jangka panjang akibat konflik berpanjangan dan segera menangani isu ini secara menyeluruh dan berkesan, kata beliau.
Walaupun ASEAN sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, Anwar menegaskan bahawa masa depan Myanmar harus ditentukan oleh rakyatnya sendiri, selaras dengan dasar tidak campur tangan ASEAN dalam hal ehwal dalaman negara anggota.
ASEAN juga tidak akan mengenakan syarat ketat seperti mendesak demokrasi serta-merta atau format pilihan raya tertentu, sebaliknya terus menghormati kedaulatan Myanmar dan memberi ruang untuk negara itu menentukan sendiri laluan serta tempo ke arah keamanan.
Walaupun kemajuan itu perlahan, apa yang lebih penting ialah ia sedang bergerak ke arah keterangkuman, kestabilan dan penglibatan jangka panjang dalam komuniti ASEAN secara menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial