DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

16/06/2025 11:40 PM

Oleh K NAVEEN PRABU

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, menjejaki harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan lonjakan harga minyak mentah.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata MSM meningkat melebihi RM4,000 setan, seiring dengan kenaikan pasaran minyak kacang soya berikutan laporan mengenai mandat bio bahan api yang lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS), manakala peningkatan ketegangan di Asia Barat memaksa harga minyak mentah melonjak, sekali gus meningkatkan sentiman pasaran secara keseluruhan.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,050 setan dan paras rintangan pada RM4,200,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM meningkat dengan mendadak disokong oleh kekukuhan niaga hadapan minyak sayuran berkaitan di CBOT dan China, dengan sokongan tambahan daripada harga minyak mentah yang lebih kukuh.

“Harga minyak kacang soya melonjak dengan mendadak selepas Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS pada Jumaat mencadangkan penggunaan 5.61 bilion gelen biodiesel pada 2026.

“Ia lebih tinggi berbanding jangkaan awal iaitu 4.65 hingga 5.25 bilion gelen, dan cadangan itu secara amnya dilihat bertujuan meningkatkan stok suapan biodiesel tempatan,” katanya.

Ketika ditutup kontrak semerta bulan Jun meningkat sebanyak RM171 pada RM4,096 setan, Julai 2025 menokok RM177 kepada RM4,104 setan, dan Ogos 2025 menaik sebanyak RM172 kepada RM4,094 setan.

September 2025 naik RM166 kepada RM4,080 setan, Oktober 2025 menokok RM163 kepada RM4,073 setan, dan November 2025 menambah RM161 kepada RM4,078 setan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 117,399 lot daripada 113,276 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 241,865 kontrak daripada 244,432 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal Jun Selatan meningkat RM140 kepada RM4,100 setan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan