AM

DISKAUN 50 PERATUS TIKET PENERBANGAN ASEAN PERKUKUH KESALINGHUBUNGAN MEDIA 

16/06/2025 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Diskaun 50 peratus untuk tiket penerbangan ke 57 destinasi ASEAN bagi pengamal media tempatan mendapat sokongan pemimpin media yang menyifatkan inisiatif ini bertepatan pada masanya untuk memperluas liputan dan kesalinghubungan media.

Diskaun sekali beri ditawarkan kepada lebih 12,000 petugas media yang memegang kad akreditasi media Jabatan Penerangan (JaPen) itu diumumkan pada Sabtu lepas oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Inisiatif itu juga sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata inisiatif itu membolehkan wartawan Malaysia memahami dengan lebih mendalam mengenai negara-negara ASEAN di luar kerangka persidangan rasmi, selain merangsang organisasi berita menempatkan wartawan di seluruh rantau untuk mencari bahan berita

“Ia langkah bermanfaat AirAsia kerana membolehkan wartawan Malaysia mengenali lebih lanjut mengenai negara jiran. ASEAN bukan sekadar berkaitan sidang kemuncak. Saya berharap organisasi berita dapat merancang menghantar petugas ke negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Laos dan Kemboja bagi mendapatkan lebih banyak bahan berita,” katanya kepada Bernama.

Yong berkata inisiatif itu juga menawarkan peluang kepada wartawan untuk mengunjungi institusi penting seperti Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi lebih memahami mekanisme dan kerjasama dalam ASEAN.

Beliau berkata wartawan berpeluang mengamati sendiri dan menulis laporan analisis dengan membandingkan sistem serta amalan di negara anggota sekali gus menyumbang kepada pengukuhan hubungan serantau. 

Sementara itu, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan menyifatkan tawaran itu sebagai satu usaha murni yang mengiktiraf peranan media sambil menyedari kekangan kewangan yang dihadapi kebanyakan wartawan untuk ke luar negara.

“Kita wajar berterima kasih kepada AirAsia … . Ramai petugas media jarang sekali berpeluang melancong ke luar negara kerana kemampuan kewangan yang terbatas. Tawaran itu mungkin akan menggalakkan lebih ramai wartawan untuk mengembara ke negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand,” katanya.

Namun, Ahirudin menyeru syarikat penerbangan termasuk AirAsia mempertimbangkan penurunan harga tiket untuk rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan dalam negara, terutamanya semasa musim perayaan. 

“Jika syarikat penerbangan mampu menawarkan diskaun kepada pengamal media maka lebih bermakna jika dapat mengawal dan menurunkan tambang bagi rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah atau Sarawak, khususnya semasa musim puncak,” katanya.

Tempoh tempahan akan dibuka sehingga 31 Dis 2025, manakala tempoh perjalanan dari April hingga September 2026. Maklumat lanjut termasuk mekanisme tempahan bakal diumumkan oleh JaPen dalam masa terdekat. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan