AM

SUHAKAM PERLU KEKAL SEBAGAI INSTITUSI BERWIBAWA PERJUANG HAK GOLONGAN RENTAN - ANWAR 

16/06/2025 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kekal sebagai institusi yang berwibawa dan progresif dalam memperjuangkan hak golongan rentan.

Beliau juga mahu Suhakam supaya terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan agenda hak asasi yang seiring dengan harapan dan cita-cita negara.

Anwar berkata demikian bagi merumuskan sesi pertemuan dan perbincangan bersama Pengerusi Suhakam Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus yang mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau di Putrajaya hari ini.

“Menerima kunjungan hormat Pengerusi Suhakam (Mohd Hishamudin) lantas membincangkan pelbagai isu penting berkaitan hak asasi manusia yang memberi kesan langsung kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Perbincangan meliputi pencapaian Suhakam serta cabaran semasa yang semakin kompleks, termasuk perubahan teknologi dan sosial yang menuntut pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.

Anwar berkata perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi menimbulkan dimensi baharu dalam menjamin dan melindungi hak asasi manusia.

Justeru, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada hak asasi kanak-kanak yang semakin terdedah kepada risiko baharu, katanya.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Anwar memaklumkan beliau turut menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Dunia Islam bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) Dr Salim M AlMalik petang tadi, bagi membincangkan potensi kerjasama lebih menyeluruh antara Malaysia dengan ICESCO.

Beliau berkata perbicangan itu juga tertumpu ke arah meneroka kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi dan pemeliharaan warisan merentasi negara-negara Islam dan ASEAN.

Anwar berkata sebagai pertubuhan antara kerajaan yang berpangkalan di Rabat, Maghribi dan dianggotai lebih 50 negara, ICESCO memainkan peranan penting dalam memajukan pendidikan, sains dan kebudayaan di dunia Islam menerusi jaringan kerjasama yang luas.

“Saya mengambil maklum pelbagai inisiatif strategik yang sedang digerakkan oleh ICESCO, dan menekankan keperluan memberi tumpuan kepada bidang-bidang masa depan termasuk pensijilan latihan dalam AI, pendigitalan dan teknologi baharu yang menjadi keutamaan bagi negara-negara membangun,” katanya.

Turut hadir pada sesi kunjungan hormat itu ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan