AM

NAHAS BAS GERIK: RM1.7 JUTA TERKUMPUL MENERUSI TABUNG KPT PRIHATIN

16/06/2025 11:37 PM

TANJONG MALIM, 16 Jun (Bernama) -- Sejumlah RM1.7 juta terkumpul menerusi Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin setakat ini, untuk waris dan mangsa nahas bas membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Gerik, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dana terkumpul itu ialah usaha kira-kira 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti, selain sumbangan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan negeri, institusi bank dan pihak korporat.

Beliau berkata tabung khas yang dikendalikan oleh UPSI itu akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat dan setakat ini sebanyak RM371,000 daripada RM1.7 juta itu telah diserahkan kepada pelajar dan waris yang terkesan.

“Wang itu (RM1.7 juta) akan diberikan kepada keluarga-keluarga mangsa, saya serahkan kepada pihak urus setia yang diketuai oleh Naib Canselor UPSI (Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff).

“Mereka (pihak IPT) buat gerakan untuk sumbangan daripada pelajar-pelajar, kakitangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar UPSI di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah.

Sementara itu, Zambry yang turut menyumbangkan sebulan gajinya sebagai menteri kepada tabung itu berkata ia sebagai satu solidariti bersama dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Md Amin ketika ditemui berkata Tabung KPT Prihatin khusus untuk insiden terbabit dijangka ditutup pada Jumaat ini.

"Apabila kita tutup sumbangan, selepas itu boleh diserahkan terus kepada keluarga (mangsa). Terima kasih, kita cuba lihat mungkin hari Jumaat … untuk tempoh seminggu ini kita tutup," katanya.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI, majlis tahlil perdana itu disertai kira-kira 5,000 mahasiswa, petugas serta penduduk setempat.

Pada majlis itu, Zambry turut menerima cek cura daripada pihak terlibat dalam memberikan sumbangan antaranya beberapa universiti dan syarikat korporat seperti Syarikat Takaful Malaysia, Malaysian Takaful Association, Lumut Port, Etiqa Takaful, Hong Leong Takaful serta institusi bank.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan