Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives menamatkan penurunan tiga hari berturut-turut untuk ditutup tinggi hari ini, menjejaki prestasi pasaran COMEX Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.
Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata logam berharga itu mendapat manfaat daripada sentimen pasaran yang bertambah baik selepas didorong oleh pergerakan dalam hasil Perbendaharaan AS.
"Hasil AS sebelum ini telah ditekan oleh dolar US yang lebih kuat dan prospek kadar faedah yang lebih agresif tetapi cabaran itu telah mereda.
"Jika pasaran terus mengurangkan jangkaan pengetatan Rizab Persekutuan AS selanjutnya, emas boleh memperoleh semula momentum menaik," katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Jun 2026 meningkat kepada US$4,050.90 setiap auns troy daripada US$3,997.10 pada Khamis, manakala kontrak Julai 2026 menokok kepada US$4,065.30 daripada US$4,011.50.
Kontrak Ogos 2026 naik kepada US$4,088.10 setiap auns troy daripada US$4,033.80, September 2026 bertambah kepada US$4,092.60 daripada US$4,038.30, Oktober 2026 dan Disember 2026 melonjak kepada US$4,111,70 daripada US$4,067.40.
Jumlah dagangan menyaksikan kenaikan kepada 16 lot berbanding 12 yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 83 kontrak daripada 73 sebelumnya.
Sementara itu, semasa penetapan tengah hari 25 Jun 2026 di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,001.80 setiap auns troy.
-- BERNAMA