JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Warga Emas Ditemukan Lemas Ketika Memancing Di Bera

26/06/2026 02:08 PM

KUANTAN, 26 Jun (Bernama) --  Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas pagi tadi, selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersendirian di Kampung Sungai Batu, Kampung Orang Asli Ibam, Bera, semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata mangsa berusia 62 tahun itu ditemukan orang awam pada 9.39 pagi, 25 meter dari lokasi lelaki itu terjatuh.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kuala Bera dan diserahkan kepada polis pada 10.30 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata operasi SAR pada hari kedua bermula pada 7.10 pagi dengan dibantu pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Bukit Angin.

Operasi pencarian melibatkan 13 anggota JBPM dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender, sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta dua bot turut dibantu tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta tujuh anggota polis.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573286