TAWAU, 26 Jun (Bernama) -- Projek penanaman rumput napier jenis “Pak Chong” yang diterajui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi menyokong pembentukan koridor hidupan liar untuk gajah Borneo di Sabah, menunjukkan perkembangan positif apabila pemantauan awal mendapati haiwan itu mula memasuki kawasan bank makanan yang dibangunkan dalam koridor berkenaan.
Pengurus Kemampanan Sabah Softwoods Berhad (SSB) Mohd Hafizzul Samutu berkata kajian saintifik bagaimanapun masih dijalankan bagi mengesahkan sama ada spesies itu benar-benar memilih rumput napier sebagai sumber makanan utama sebelum keberkesanan projek dapat dibuktikan secara menyeluruh.
Beliau berkata penyelidikan ketika ini memberi tumpuan kepada rumput napier Pak Chong dari Thailand dan napier Taiwan yang mempunyai kandungan nutrien lebih tinggi berbanding rumput napier tempatan.
“Kedua-dua varieti itu dipilih berdasarkan kajian terdahulu terhadap haiwan ternakan seperti lembu yang menunjukkan kandungan nutrien lebih tinggi, selain mudah ditanam dan cepat membiak.
“Apa yang kita ingin kaji ialah sama ada gajah dan hidupan liar lain menerima spesies baharu ini dalam koridor hidupan liar, sama ada mereka lebih memilih napier Pak Chong dan Taiwan ataupun rumput yang sememangnya tumbuh secara semula jadi di kawasan riparian,” katanya.
Mohd Hafizzul ditemui pemberita pada program lawatan media ke Projek Penanaman Rumput Napier sebagai Strategi Koridor Hidupan Liar Tawau, di SSB, di sini semalam.
Beliau berkata analisis itu penting bagi menyokong hipotesis bahawa penanaman napier mampu menarik lebih banyak mamalia besar berkenaan menggunakan koridor hidupan liar di kawasan Brumas, sekali gus mengurangkan pergerakan haiwan itu memasuki ladang dan kawasan penempatan.
Menurutnya sebelum koridor itu diwujudkan, kerugian akibat kemasukan gajah ke kawasan ladang mencecah kira-kira RM500,000 setahun, namun jumlah itu kini menurun kepada kira-kira RM5,000 setahun.
Beliau berkata dapatan awal kajian dijangka diperoleh dalam tempoh dua bulan lagi sebelum dimasukkan ke dalam laporan penyelidikan.
“Berdasarkan rakaman kamera dan video, memang kelihatan gajah memasuki kawasan food bank (bank makanan) ini. Bagaimanapun, kita masih menjalankan analisis najis bagi melihat sama ada napier Pak Chong dan napier Taiwan benar-benar terdapat dalam najis gajah sebagai bukti ia dimakan,” katanya.
Projek penyelidikan selama dua tahun bermula dari 2025 itu dibiayai MPOGCF dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), SSB dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Ia bertujuan menyediakan sumber makanan mencukupi di dalam koridor hidupan liar seluas 15 hektar yang menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang dan Hutan Simpan Ulu Segama, sekali gus mengurangkan konflik manusia-gajah yang berpunca daripada kehilangan habitat serta kekurangan sumber makanan.
Selain penanaman rumput napier sebagai tanaman pengayaan, projek itu turut melibatkan pemasangan kolar satelit bagi memantau pergerakan kawanan gajah Borneo.
-- BERNAMA