KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Warga emas perlu diberi pendedahan mengenai kepentingan latihan kekuatan otot bagi mengurangkan risiko jatuh dan patah tulang, selain membantu mereka mengekalkan kualiti hidup yang baik pada usia senja.
Pemilik pusat gimnasium FitLab, Dr Adibah Ali berkata kesedaran mengenai perkara itu masih pada tahap yang rendah meskipun Malaysia sedang berdepan peningkatan populasi warga emas.
Beliau yang juga doktor pakar kanser payudara berkata pengalaman selama 22 tahun berkhidmat di hospital menyaksikan banyak pesakit warga emas dimasukkan ke wad selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh.
"Saya pernah bekerja di wad dipenuhi pesakit warga emas yang jatuh sehingga mengalami patah tulang. Sebab itu saya mahu mewujudkan kesedaran bahawa latihan menguatkan otot sangat penting.
"Ia bukan bertujuan membina badan seperti ahli bina badan, tetapi membantu menguatkan tulang, melindungi sendi dan mengurangkan risiko kecederaan melalui peningkatan mobiliti," katanya selepas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat FitLab di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda yang juga Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Dr Adibah berkata latihan kekuatan otot juga membantu warga emas menjalankan aktiviti harian seperti menaiki tangga dan membawa barangan keperluan dengan lebih mudah serta selamat.
Beliau berkata pihaknya turut merancang memperkenalkan kelas khas untuk warga emas serta menjalin kerjasama dengan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi menggalakkan golongan itu menyertai program kecergasan secara berkumpulan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata usaha menggalakkan warga emas menjalani gaya hidup aktif perlu diperkasakan memandangkan golongan berusia 50 tahun ke atas membentuk segmen penduduk yang semakin meningkat di negeri itu.
“Aktiviti ini turut melibatkan PAWE. Kita buat lebih banyak aktiviti, bukan sahaja aktif secara fizikal tetapi juga mental seperti permainan catur yang memerlukan kecerdasan otak,” katanya.
Terdahulu, Raja Muda Perlis berkenan meluangkan masa hampir dua jam bagi meninjau peralatan di pusat gimnasium berkenaan sebelum berangkat ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 di Kampung Budaya Sarawak.
-- BERNAMA