JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Beberapa jalan utama berhampiran pusat penamaan calon akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat bagi memberikan laluan kepada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata langkah penutupan dan pelencongan itu adalah bagi memastikan keselamatan serta kelancaran proses penamaan calon yang dijadualkan pada 9 hingga 10 pagi.
Beliau berkata setakat ini kira-kira 19 jalan telah dikenal pasti termasuk di daerah Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Muar dan Kluang yang terlibat dengan proses penamaan calon pada PRN Johor itu.
Jalan yang terlibat antaranya Jalan Utama Dato’ Onn dan Jalan Ayer Molek di Johor Bahru, Jalan Persiaran Indahpura 6 di Kulai, Jalan Omar di Batu Pahat, Jalan Arab dan Jalan Petri di Muar serta Jalan Dato’ Teoh Siew Khor dan Jalan Sultan di Kluang.
“Bagaimanapun, maklumat terperinci (termasuk waktu penutupan atau lencongan) akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Ab Rahaman berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 22 lokasi tumpuan di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu dipantau rapi, berdasarkan penilaian keselamatan dan pengalaman pilihan raya sebelum ini.
Beliau berkata lokasi tersebut tertumpu di kawasan pusat penamaan calon dengan jumlah penyokong yang ramai serta kawasan bandar dengan keadaan trafik berkepadatan tinggi.
Katanya, sebanyak 4,832 pegawai dan anggota polis akan bertugas pada hari berkenaan bagi mengawal keselamatan dan trafik, memantau ketenteraman awam dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta menggunakan laluan alternatif seperti dicadangkan.
Ab Rahaman turut mengingatkan penyokong parti politik supaya mengamalkan sikap matang, berhemah dan mematuhi undang-undang serta mengelakkan provokasi dan perhimpunan yang boleh mengganggu ketenteraman dan ketegangan awam.
“Kita harus bersama-sama memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan penuh semangat demokrasi,” katanya.
Beliau berkata kerjasama daripada masyarakat, penyokong parti politik serta pengguna jalan raya amat dihargai dalam menjayakan proses demokrasi berkenaan dengan aman dan tertib.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA