AM

PRN Johor: Pastikan Proses Berkempen Sopan - PM Anwar

26/06/2026 06:04 PM

DENGKIL, 26 Jun (Bernama) -- Jangkaan pertembungan beberapa penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah lumrah dalam amalan demokrasi di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun mengingatkan semua pihak untuk berkempen dengan sopan sepanjang proses PRN berlangsung.

“Tiga ke enam (penjuru) itu lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak dan jangan lupa daratan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, di sini hari ini. 

Anwar turut mengingatkan semua parti komponen PH untuk mempamerkan prestasi yang baik ketika berkempen pada PRN Johor kali ini.

Proses penamaan calon PRN Johor dijadualkan berlangsung bermula 9 hingga 10 pagi esok di 56 pusat penamaan calon (PPC) yang telah ditetapkan, sebelum pengumuman rasmi calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Dalam pada itu, Anwar mahu setiap parti komponen PH mengambil pendekatan menyantuni masyarakat dengan lebih dekat dan tidak mempamerkan sikap sombong.

“Jangan tunjuk sombong, jangan tolak orang itu, bekerjasamalah. Ambillah sikap yang sederhana, cuba layani, santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.

Dilaporkan, sebanyak 593 borang pencalonan bagi PRN Johor terjual setakat ini, namun hanya 133 bakal calon mengesahkan penyertaan mereka dengan menjelaskan bayaran deposit.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata jumlah itu bagaimanapun dijangka terus meningkat memandangkan bakal calon masih mempunyai tempoh sehingga proses penamaan bermula pagi esok untuk melengkapkan urusan berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573357