AM

Jemaah Menteri Setuju Laksana Hari Bekerja Hibrid Mulai 1 Ogos - JPA

26/06/2026 07:23 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini bersetuju melaksanakan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pelaksanaan HBH membolehkan penjawat awam bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.

JPA berkata pelaksanaan itu menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.

“Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.

“HBH ialah satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja,” menurut kenyataan itu. 

JPA memaklumkan pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting (essential services) kerajaan kepada rakyat.

Menurut JPA, perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa, termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.

Bagi negeri-negeri Hari Kelepasan Mingguan (HKM) pada Ahad, JPA memaklumkan Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat, manakala bagi negeri yang menetapkan HKM pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, Ahad dan Khamis ialah hari kehadiran wajib ke pejabat.

JPA memaklumkan, inisiatif HBH ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan Perkhidmatan Awam melalui amalan kerja berorientasikan hasil serta pemanfaatan teknologi digital.

Sistem pemantauan akan dilaksanakan bagi memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.

“Kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden,” menurut kenyataan itu.

Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573449