AM

PRN Johor: Persiapan Akhir Giat Dilakukan Pastikan Kelancaran Proses Penamaan Calon Esok

26/06/2026 05:54 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok berjalan lancar.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi Pusat Penamaan Calon (PPC) di sini mendapati hanya terdapat beberapa kerja-kerja akhir melibatkan aspek teknikal sedang dilaksanakan oleh petugas di lokasi.

Pegawai pengurus (RO) PPC Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Dewan Jubli Intan di sini, Nazatul Shima Mohamad berkata susun atur keperluan di premis berkenaan, termasuk simulasi akhir bersama agensi-agensi terlibat telah selesai dilaksanakan hari ini.

“Alhamdulillah, kita bersedia 100 peratus, semua pihak memberikan sokongan kepada kita dan sama-sama bersemangat untuk memastikan perjalanan proses penamaan calon esok dapat berjalan lancar.

“Kepada bakal calon, kami bersedia membantu anda semua, dan saya berharap anda memberikan kerjasama sebaiknya supaya proses pencalonan dapat berjalan dengan baik, pastikan datang awal serta bawa dokumen-dokumen wajib diperlukan termasuklah wang deposit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, RO PPC DUN Kota Iskandar Shahrulizam Abdul Rashid berkata petugas di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Medini di sini telah siap sedia untuk memastikan proses penamaan calon bagi kawasan itu berjalan lancar.

“Persiapan ini termasuklah kerjasama dengan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam persediaan kita menguruskan jangkaan kehadiran penyokong-penyokong kepada calon yang akan bertanding esok.

“Ia termasuklah urusan penutupan jalan di sekitar laluan berhampiran PPC, menetapkan had larangan (penyokong ke lokasi PPC) hingga 50 meter, penyediaan khemah di luar dewan serta pemasangan penghadang bagi memisahkan penyokong parti-parti bertanding,” katanya.

Beliau pada masa yang sama menasihati orang ramai yang berhasrat menyertai kumpulan penyokong parti masing-masing ke PPC untuk sentiasa berhemah, serta mengelakkan sebarang provokasi terhadap satu sama lain.

Proses penamaan calon bagi PRN Johor dijadualkan bermula 9 hingga 10 pagi esok di 56 PPC yang telah ditetapkan, sebelum pengumuman rasmi calon yang layak bertanding dibuat oleh RO.

Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan 2,727,926 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas, menyaksikan SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari mengundi.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/ .

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573387