GAYA HIDUP

Aghniny Terima Tawaran Filem Khadam Sebagai Penghargaan Buat Ibu

11/06/2026 10:28 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kisah pengorbanan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya menjadi faktor utama yang menarik minat pelakon Indonesia, Aghniny Haque untuk membintangi filem seram psikologi Khadam.

Menurut Aghniny, tema kasih sayang dan pengorbanan ibu yang menjadi teras penceritaan filem itu disifatkan sangat dekat dengan hati serta menyentuh emosinya.

Kisah berkenaan turut mengingatkan Aghniny kepada pengorbanan ibunya sendiri sepanjang membesarkannya.

Justeru, beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran berlakon dalam naskhah tersebut, yang dianggap sebagai penghargaan kepada insan paling penting dalam hidupnya.

pic-2

Aghniny, yang membuat penampilan sulung dalam filem Malaysia menerusi watak Melor, berkata tema keibuan yang diangkat dalam filem itu mempunyai kaitan rapat dengan kehidupannya yang dibesarkan oleh ibu tunggal.

"Saya melihat Khadam sebagai sebuah filem seram yang berbeza. Ia bukan filem seram yang hanya bergantung pada elemen kejutan, sebaliknya mempunyai jalan cerita yang kuat dan menyentuh soal keibuan.

"Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dan melihat sendiri bagaimana ibu saya berjuang membesarkan saya. Sebab itu, saya merasakan filem ini perlu saya terima sebagai penghargaan kepada ibu saya," katanya kepada Bernama selepas tayangan khas media filem berkenaan, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Aghniny berkata watak Melor, seorang ibu bisu yang bergelut mempertahankan keluarganya daripada ancaman saka warisan turun-temurun, turut membuka ruang untuk beliau meneroka dimensi lakonan yang baharu.

pic-3

"Watak ini sangat bermakna kepada saya kerana saya banyak belajar dan berkembang melaluinya. Ia seperti ‘masterclass’ buat saya kerana saya perlu menyampaikan emosi tanpa dialog.

"Saya menjadi lebih selesa berada di depan kamera tanpa dialog kerana watak ini benar-benar mengajar saya banyak perkara," katanya.

Bagi menjayakan watak berkenaan, Aghniny berkata beliau menjalani persediaan intensif selama sebulan di Indonesia termasuk mempelajari bahasa isyarat yang dibangunkan khusus untuk filem itu sebelum menyertai latihan lakonan dan pembacaan skrip dengan pasukan produksi di Malaysia.

pic-4

Pelakon yang pernah membintangi filem seram Indonesia itu turut menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan produksi Malaysia sebagai sesuatu yang berbeza apabila tempoh penggambaran yang lebih panjang memberi ruang kepada pelakon mendalami watak masing-masing.

Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam mengisahkan Melor, seorang ibu bisu kepada dua anak yang berusaha melindungi keluarganya daripada saka warisan turun-temurun yang mula mengambil alih kehidupannya.

Filem terbitan Red Communications dan Komet Productions, yang turut dibintangi Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl El dan Jun Lojong akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

pic-5

Sementara itu, pengarah Shamyl Othman berkata idea filem itu tercetus daripada penulis skrip Fariza Azlina Isahak yang mahu mengangkat kisah dan kepercayaan masyarakat Melayu berkaitan saka menerusi perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.

“Saka dengan Melayu ini tidak akan berpisah. Penulis buat banyak penyelidikan, berbual dengan orang kampung dan ustaz mengenai saka sebelum menghasilkan skrip ini. Kita nak beri gambaran tentang apa yang datuk nenek kita lalui apabila berdepan dengan beban mewarisi saka ini," katanya.

pic-6

Beliau berkata Khadam bukan sekadar filem seram konvensional, sebaliknya sebuah naskhah yang sarat dengan emosi, konflik keluarga dan dilema yang dihadapi watak-wataknya.

"Kita tidak dibawa dengan plot misteri seram semata-mata, tetapi dengan emosi watak dan pilihan yang mereka buat dalam cerita ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567235