Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Dalam industri yang semakin dipengaruhi trend tular dan algoritma media sosial, komposer serta penerbit muzik Malaysia Satish Raj Kunasangaran berpendapat pemuzik muda perlu memberi tumpuan kepada pembentukan identiti sendiri berbanding meniru orang lain atau mengejar kejayaan jangka pendek.
Dikenali dengan nama pentas ZTISH, beliau berkata keaslian dan identiti muzik yang unik merupakan faktor penting untuk membina kerjaya yang berkekalan.
pic-2
Pemuzik berusia 33 tahun itu mencipta nama sebagai antara komposer dan penerbit muzik Tamil paling dikenali di Malaysia, dengan pengalaman merangkumi bidang penggubahan, penerbitan, penulisan lagu, pendidikan muzik dan pembangunan bakat.
Pencapaian terbesar beliau termasuk lagu Ennai Kollathey daripada filem Tamil Malaysia Geethaiyin Raadhai, yang meraih lebih 171 juta tontonan di YouTube dan menjadi antara lagu Tamil Malaysia paling berjaya pernah dihasilkan.
“Ennai Kollathey dihasilkan daripada emosi yang sebenar. Saya rasa itulah faktor yang membuatkan lagu itu dapat menyentuh hati pendengar,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran 7 Raaga Records & Music Academy serta ZTISH Studios di Seri Kembangan, Selangor.
pic-3
Beliau turut melihat kejayaan itu sebagai bukti perkembangan pesat industri muzik Tamil Malaysia yang melalui perubahan besar dalam tempoh dua dekad lalu. Jika dahulu dianggap sebagai segmen kecil, industri itu berkembang menjadi ekosistem kreatif yang mampu menembusi pasaran India, Sri Lanka, Singapura, Eropah dan pelbagai negara lain melalui platform digital.
Dilahirkan di Klang dan dibesarkan di Seri Kembangan, ZTISH mengakui sokongan ibu bapanya memainkan peranan penting dalam perjalanan seninya dengan minat terhadap muzik tercetus ketika beliau masih kecil apabila sering mencipta melodi ketika menaiki bas sekolah.
pic-4
Selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, beliau melanjutkan pengajian diploma dan ijazah di Limkokwing University of Creative Technology. Di sana, beliau menyertai Koir 1Malaysia sebelum menubuhkan Yuva Band dengan rakan-rakan pemuzik.
Sebelum bergelar komposer sepenuh masa, beliau bekerja sebagai jurutera bunyi yang mengendalikan rakaman suara latar, sesi alih suara dan pelbagai kerja penerbitan audio. Pengalaman itu memberinya asas teknikal yang kukuh dalam bidang produksi muzik, sebelum peluang menggubah muzik latar untuk sebuah filem pendek yang memenangi hadiah utama membuka jalan kepada kerjaya profesionalnya.
Peluang itu kemudiannya membawa beliau menggubah muzik untuk filem Geethaiyin Raadhai ketika masih bergelar mahasiswa dan pengalaman tersebut kata beliau mengajarnya tentang kepentingan kerjasama, kesabaran dan penceritaan.
pic-5
“Muzik dalam filem seharusnya diselami bukan sekadar didengar,” katanya.
Kini, menerusi 7 Raaga Records & Music Academy serta ZTISH Studios yang diusahakan bersama-sama dengan isterinya Sinthujashre Parimalam, beliau terus membimbing bakat baharu dan menyumbang kepada perkembangan serta pengiktirafan global muzik Tamil Malaysia.
-- BERNAMA