GAYA HIDUP

Nadhif Basalamah Sifatkan Muzik Medium Rapatkan Hubungan Malaysia-Indonesia

11/06/2026 04:41 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Penyanyi Indonesia, Nadhif Basalamah menyifatkan muzik sebagai medium yang sentiasa dapat merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia, dan kerana itu juga beliau bakal kembali membuat persembahan di negara ini pada bulan depan.

Bakal beraksi di konsert Rumah Hati Fabio Asher dan Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur pada 26 Julai ini di Megastar Arena, jejaka berusia 26 tahun itu berkata disebabkan oleh bahasa dan budaya yang hampir sama, muzik menjadi antara elemen terbaik dalam menyatukan emosi peminat di kedua-dua negara. 

“Muzik dapat menggantikan tenaga dengan cara yang kita tidak faham,” katanya pada sidang media konsert itu yang diadakan secara dalam talian hari ini.

pic-2

Berkongsi yang beliau kerap berkunjung ke Kuala Lumpur secara peribadi, artis itu berkata kehadirannya bersama-sama dengan Fabio Asher ke negara ini adalah bagi memberikan kelainan serta kejutan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

"Kami sedang bekerja keras untuk memastikan ‘chemistry’ yang baik di atas pentas. Walaupun masing-masing mempunyai jadual tersendiri, kami mahu memastikan persembahan ini benar-benar istimewa," katanya.

Pelantun lagu Penjaga Hati itu berkata konsert bertemakan “Satu Rasa, Dua Cerita” tersebut merupakan gandingan sulung beliau dengan Fabio Asher.

pic-3

Sementara itu, Fabio Asher berkata mereka sedang melakukan persiapan rapi termasuk latihan intensif serta perbincangan teliti bagi memastikan persembahan lebih tersusun dan memberi pengalaman baharu kepada penonton.

“Kemungkinan akan ada gabungan lagu-lagu popular kami serta beberapa kejutan yang masih dirahsiakan buat peminat yang hadir pada malam itu,” katanya.

Menurut beliau lagi, setakat ini kira-kira  80 peratus tiket sudah terjual, dan bagi yang ingin menyaksikan persembahan dua artis yang sinonim dengan karya-karya galau ini boleh dapatkan tiket berharga RM98 hingga RM888 di www.ilassotickets.com.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567377