URUMQI (China), 10 Jun (Bernama-CMG) -- Ekspo China-Eurasia edisi kesembilan bakal diadakan di Urumqi, ibu kota Wilayah Autonomi Uygur, Xinjiang dari 25 hingga 29 Jun 2026.
Kementerian Perdagangan China dalam sidang media pada Selasa memaklumkan bahawa setakat ini sebanyak 27 negara, wilayah serta organisasi antarabangsa telah mengesahkan penyertaan dalam ekspo itu, manakala kira-kira 2,000 syarikat dan institusi turut mendaftar.
Naib Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Perdagangan Luar Kementerian Perdagangan China Deng Bo berkata ekspo kali ini mempunyai kawasan pameran seluas 140,000 meter persegi.
Ia merangkumi enam zon khusus, iaitu kerjasama pelaburan, kuasa produktif kualiti baharu, industri unggul, pembangunan hijau, integrasi budaya dan pelancongan serta kerjasama Jalan Sutera.
Sementara itu, Naib Ketua Setiausaha Kerajaan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, Zhou Chao menjelaskan bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, Rusia dan Thailand akan mendirikan pavilion mereka buat pertama kali pada edisi kali ini.
Ekspo itu juga akan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, ekonomi altitud rendah dan pengeluaran bioteknologi, selain mempamerkan hasil inovasi teknologi terkini.
Lebih 80 acara turut diatur sepanjang ekspo, termasuk pelancaran produk baharu, aktiviti perdagangan rentas sempadan dan sesi padanan pelaburan.
-- BERNAMA-CMG