AM

PAAB Peruntuk RM500 Juta Bina LRA Machang, Di Jangka Siap 2030

10/06/2026 10:09 PM

KUALA KRAI, 10 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Machang yang dijadualkan bermula pada penghujung tahun ini dan dijangka siap pada 2030.

Pengerusinya Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata apabila siap kelak LRA itu berupaya membekalkan sehingga 120 juta liter air terawat sehari sekali gus memperkukuh jaminan bekalan air di Kelantan untuk tempoh jangka panjang.

"Selain itu, kita juga memperuntukkan sebanyak RM145.8 juta untuk pelaksanaan projek penggantian paip lama dan uzur sepanjang 162 kilometer di seluruh Kelantan dalam tempoh lima tahun untuk mengurangkan kadar kehilangan air terawat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Santuni MADANI PAAB di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Krai, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar.

Jaseni berkata apabila kesemua projek tersebut siap, ia akan mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih di negeri ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567157