GAYA HIDUP

Aktiviti Teroka Hutan Dekatkan Kanak-kanak Dengan Alam Semula Jadi

11/06/2026 10:24 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

PUCHONG, 11 Jun (Bernama) -- Ketika kebanyakan ibu bapa memilih taman permainan atau pusat beli-belah sebagai destinasi hujung minggu, seorang guru tadika mengambil pendekatan berbeza dengan membawa kanak-kanak meneroka alam semula jadi melalui aktiviti mendaki dan eksplorasi hutan.

Farah Zahira Zahari, 39, mula menganjurkan aktiviti itu semasa cuti sekolah Disember tahun lalu selepas melihat minat ibu bapa yang mahu anak-anak mereka didedahkan kepada pengalaman luar bilik darjah.

Menurutnya, aktiviti seperti berjalan di denai, bermain tanah liat dan memerhati alam sekitar bukan sekadar rekreasi, sebaliknya membantu perkembangan fizikal, emosi dan sosial kanak-kanak.

pic-2

Beliau yang mempunyai sijil dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak berkata idea itu tercetus selepas rakan-rakan mula memintanya membawa anak mereka menyertai aktiviti yang sebelum itu hanya melibatkan anak sendiri dan kenalan rapat.

Ibu kepada lima anak itu berkata pendedahan kepada alam semula jadi amat penting ketika kanak-kanak semakin banyak terdedah kepada penggunaan peranti.

“Bila berada dalam hutan, semua deria mereka digunakan. Mereka melihat, mendengar, menyentuh dan bergerak. Ini melatih koordinasi mata dan tangan serta merangsang perkembangan mereka secara semula jadi tanpa sedar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas program Toddlers Forest Exploration di Bukit Wawasan, di sini baru-baru ini.

pic-3

Menurutnya, pengalaman berinteraksi dengan tanah, lumpur dan serangga juga membantu kanak-kanak yang mempunyai sensitiviti tertentu atau kurang selesa dengan persekitaran kotor.

“Ada yang pada mulanya takut pegang tanah, takut kotor atau geli dengan serangga. Tetapi apabila diberi peluang dan galakan untuk bermain dengan tanah dan lumpur secara santai, mereka mula berani mencuba.

“Bagi saya, ia satu kepuasan apabila melihat kanak-kanak yang pada mulanya takut untuk kotor akhirnya seronok meneroka alam dan mencuba perkara baharu,” katanya.

pic-4

Beliau berkata program itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun yang ditemani ibu bapa serta kumpulan enam hingga 12 tahun yang mengikuti aktiviti secara berkumpulan.

Farah Zahira berkata sokongan suami dan rakannya, Nur Azura Suib yang juga Malim Gunung Perhutanan Selangor banyak membantu kelancaran program tersebut.

Katanya, aspek keselamatan diberi keutamaan melalui tinjauan awal laluan bagi memastikan keadaan trek, akses kecemasan serta liputan telekomunikasi berada pada tahap sesuai.

pic-5

“Cabaran terbesar sebenarnya bukan daripada kanak-kanak, tetapi kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka. Namun apabila kami menerangkan prosedur keselamatan dan mereka melihat sendiri bagaimana program ini dikendalikan, kebanyakan mereka menjadi lebih yakin,” katanya yang mengehadkan nisbah seorang guru bagi setiap enam hingga tujuh peserta.

Peserta cilik Erhan Malique Mohammad Khairul Nizzam, 7, dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2), yang hadir bersama-sama dengan dua adiknya, Hessa Eiliyah, 5, dan Elma Haneeyah, 2, mengakui pengalaman meneroka hutan itu menyeronokkan terutama apabila dapat melihat pelbagai hidupan semula jadi.

“Seronok sebab dapat main tanah liat dan panjat pokok. Dalam hutan ada banyak benda yang boleh tengok macam cendawan dan serangga. Saya suka aktiviti macam ini sebab boleh berjalan dalam hutan,” katanya.

pic-6

Seorang peserta, Siti Rohaya Aini Abdullah Najib, 32, yang membawa dua anaknya, Muhammad Al Fateh, 6, dan Aaira Raihana, 2, berkata aktiviti itu memberi peluang kepada anak-anaknya menikmati pengalaman yang sukar diperoleh dalam kehidupan bandar.

“Kami tinggal di kawasan bandar dan rumah bertingkat, jadi anak-anak jarang dapat berinteraksi dengan alam semula jadi. Aktiviti sebegini memberi peluang kepada mereka meneroka perkara baharu dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya yang hadir dengan suaminya Shahrin Mohamad.

pic-7

Bagi ibu tunggal, Siti Nuruljannah Abdul Rahman, 30, dari Setia Alam, program itu memberi peluang kepada anak tunggalnya Muhammad Umar Raees, 2, menikmati pengalaman baharu di luar persekitaran biasa seperti taman permainan.

“Rasa risau itu memang ada kerana dia masih kecil dan sempat mengalami sedikit tantrum kerana mengantuk, namun saya lihat program ini dikendalikan dengan baik oleh Cikgu Farah yang berpengalaman dan anak saya juga kelihatan seronok sepanjang aktiviti,” kata jurutera perisian itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567230