AM

Semarak Subuh Johor Imarahkan Masjid, Eratkan Ukhuwah Ummah

11/06/2026 10:29 AM

JOHOR BAHRU, 11 Jun (Bernama) -- Program Semarak Subuh yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh Johor dilihat berjaya meningkatkan pengimarahan masjid dan surau, selain mengeratkan hubungan antara pemimpin, institusi masjid dan masyarakat setempat.

Pengerusi Masjid Jamek As-Syakirin Abdul Aziz Madi, 72, berkata sokongan berterusan kerajaan negeri menerusi program itu membantu memperkukuh peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadat, malah sebagai pusat penyatuan komuniti.

Beliau berkata kehadiran jemaah, khususnya bagi solat subuh menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak program berkenaan diperkasakan.

“Sejak program ini diperluas, kita melihat peningkatan kehadiran jemaah yang ketara. Jika dahulu kebanyakannya terdiri daripada golongan veteran, kini lebih ramai golongan muda dan keluarga turut hadir.

“Program seperti ini memberikan ruang kepada masyarakat untuk mendekati masjid dan pada masa yang sama mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di masjid itu, di sini Selasa lepas.

Sementara itu, Imam yang juga Bendahari Masjid Jamek As-Syakirin, Yusof Mahamad, 44, berkata program berkenaan memberikan impak positif terhadap jumlah kehadiran jemaah sehingga mampu memenuhi dua saf pada hari bekerja.

“Sebelum ini, satu saf dengan kehadiran antara 20 hingga 30 jemaah pun agak sukar dicapai, namun sekarang pada hari bekerja sekalipun kehadiran boleh mencecah lebih 80 orang secara konsisten.

“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat untuk memakmurkan masjid semakin meningkat dan program seperti ini membantu menggalakkan penyertaan lebih ramai penduduk,” katanya.

 Beliau berkata manfaat program itu turut dirasai menerusi pelaksanaan inisiatif kebajikan kepada masyarakat apabila sebanyak 100 bakul makanan dan 100 pek beras lima kilogram diagihkan kepada golongan yang memerlukan pada program itu. 

Program Semarak Subuh yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah antara inisiatif negeri yang menghimpunkan pimpinan kerajaan, pentadbiran daerah dan masyarakat setempat menerusi solat subuh berjemaah di masjid dan surau seluruh negeri.

Ia lazimnya dimulakan dengan solat subuh berjemaah, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran seperti 10 ayat awal dan akhir surah Al-Kahfi atau selawat, serta disusuli dengan tazkirah agama.

Sementara itu Pengerusi Surau Ittihad Mariam, Rahim Ahmad, 73, berkata program berkenaan  membantu merapatkan hubungan antara pihak pentadbiran negeri dengan masyarakat pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata penganjuran program di surau-surau perumahan memberikan peluang kepada komuniti setempat untuk bersama-sama menyertai aktiviti keagamaan serta berinteraksi secara lebih dekat dengan pemimpin dan agensi kerajaan.

“Program seperti ini sangat baik kerana ia bukan sahaja mengimarahkan surau dan masjid, malah mengeratkan hubungan dalam komuniti.

“Apabila pemimpin dan rakyat dapat bertemu serta berinteraksi dalam suasana yang santai selepas solat berjemaah, hubungan itu menjadi lebih rapat dan mesra,” katanya.

Program Semarak Subuh yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya terus diperkasakan menerusi Belanjawan Johor 2026 dengan kekerapan penganjuran ditingkatkan daripada dua kepada tiga kali seminggu.

Di bawah Teras Pertama Belanjawan Johor 2026, iaitu Tadbir Urus Kerajaan, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.92 juta bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan program berkenaan sepanjang tahun.

-- BERNAMA 



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567226