RENCANA

ADI Pacu Kebolehpasaran Graduan Ke Arah Kerjaya Berimpak Tinggi

11/06/2026 01:01 PM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, kelayakan akademik sahaja tidak lagi mencukupi bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik kerana, majikan ketika ini mahukan individu yang mempunyai kemahiran praktikal, pengalaman industri dan keupayaan yang sesuai dengan perubahan teknologi serta kehendak pasaran.

Namun, masih wujud jurang antara kemahiran pencari kerja dan keperluan sebenar industri, sekali gus menyukarkan mereka termasuk siswazah yang baru menamatkan pengajian mendapatkan pekerjaan.

Bagi menangani isu ini, kerajaan memperkenalkan Akademi Dalam Industri (ADI)  sebagai inisiatif strategik untuk membangunkan bakat tempatan yang dapat memenuhi keperluan semasa industri.

ADI yang terhasil daripada kolaborasi  tiga pihak utama iaitu kerajaan, industri dan akademia itu diterajui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). 

Menerusi ADI Perantisan yang menyasarkan golongan pencari kerja, program itu dilaksanakan secara berstruktur menerusi sistem pentauliahan yang menggabungkan pembelajaran teori dengan latihan bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.

Sejak dilaksanakan, inisiatif ini berjaya menarik penyertaan pelbagai syarikat terkemuka daripada pelbagai sektor termasuk hospitaliti dan penginapan melalui Ascott International Management (Ascott Malaysia), sektor kesihatan dan perubatan menerusi Columbia Asia Hospital, selain penglibatan aktif syarikat-syarikat tempatan dalam bidang kecantikan, automotif dan perkhidmatan.

 

PELUANG KERJAYA 

Mengulas usaha itu, Pemimpin Produktiviti Bertauliah MPC Prof Madya Ir Dr Noor Azlina Mohd Salleh berkata ADI  memainkan peranan penting dalam memastikan tenaga kerja negara memiliki kemahiran dan kompetensi yang memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Beliau berkata peranan itu seiring dengan perubahan pesat landskap pekerjaan yang dipacu oleh kemajuan teknologi, automasi dan pendigitalan yang kini merentasi pelbagai industri di Malaysia.


ADI memastikan tenaga kerja negara memiliki kemahiran dan kompetensi yang memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan industri seperti ADI semakin relevan dalam memenuhi keperluan industri yang kian kompleks. Industri ketika ini bukan sahaja memerlukan siswazah yang memiliki kelayakan akademik seperti diploma atau ijazah, malah turut memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal bagi memenuhi tuntutan pekerjaan semasa.

“Justeru, program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pencari kerja, malah turut membantu lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan. Melalui pendekatan ‘train and place’ di bawah ADI Perantisan misalnya, mereka dilatih secara praktikal mengikut keperluan industri sebelum diserap sebagai pekerja tetap,” katanya kepada Bernama.

Katanya pendekatan “train and place” merupakan antara penyelesaian efektif kepada isu ketiadaan pengalaman kerja dalam kalangan graduan baharu yang sering menjadi halangan utama untuk mereka menembusi pasaran pekerjaan.

Selain menyasarkan individu pencari kerja seperti graduan, konsep ‘train and place’ juga terdiri daripada pekerja yang diberhentikan, penganggur, pekerja gig dan suri rumah.

Pelaksaan latihan adalah berstuktur melalui sistem pentauliahan di mana 20 peratus hingga 30 peratus adalah teori yang dilaksanakan di pusat latihan manakala 70 peratus hingga 80 peratus pula latihan praktikal yang dijalankan dengan kerjasama syarikat.

 

SKM SEBAGAI NILAI TAMBAH

Mengulas lanjut, Noor Azlina yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA, berkata penyertaan dalam program ADI bukan sahaja membuka peluang kepada siswazah untuk meningkatkan kompetensi diri, malah membolehkan mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Beliau berkata ini kerana program tersebut dibangunkan berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), yang akan memastikan setiap kemahiran dan pengetahuan yang diterapkan memenuhi standard industri serta menepati keperluan semasa pasaran kerja.


Prof Madya Ir Dr Noor Azlina Mohd Salleh

Selain itu, kurikulum NOSS yang dibangunkan dengan kerjasama pakar industri, menjadikan graduan berkenaan pilihan utama majikan kerana mereka sudah bersedia untuk bekerja tanpa memerlukan latihan semula.

“Pemegang SKM bukan sahaja memiliki pengetahuan asas dalam bidang masing-masing, malah turut menguasai kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan secara produktif serta memenuhi standard kualiti industri.

“Mereka juga didedahkan kepada persekitaran kerja sebenar, penggunaan peralatan industri serta pematuhan terhadap aspek keselamatan dan kualiti, yang menjadi keutamaan majikan,’’ katanya.

Noor Azlina berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa SKM berada pada tahap lebih rendah berbanding diploma atau ijazah akademik juga adalah satu stigma lapuk yang perlu diubah.

Beliau berkata hakikatnya SKM terutamanya tahap 4 dan 5, merupakan kelayakan profesional yang memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran praktikal sekali gus berupaya melahirkan tenaga kerja mahir.

“Malahan dalam banyak sektor seperti pembuatan, automotif, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, pembinaan, logistik serta perkhidmatan teknikal, pemegang SKM sering menjadi tenaga kerja yang sangat diperlukan.

“Ini kerana industri menilai seseorang pekerja berdasarkan kebolehan dan kompetensi mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan, bukannya semata-mata berdasarkan jenis sijil akademik yang dimiliki,’’ katanya.

Tambahnya apabila seseorang siswazah memiliki kelayakan akademik, dan pada masa yang sama mempunyai SKM, ia merupakan satu kelebihan kerana menggabungkan pengetahuan teori dengan kemahiran,  yang amat diperlukan industri.

Menurut beliau, gabungan kedua-dua kelayakan tersebut akan menjadikan graduan lebih kompetitif, berdaya saing serta mempunyai kebolehpasaran yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk memenuhi keperluan majikan dalam alam pekerjaan yang semakin mencabar.


ADI berjaya menarik penyertaan pelbagai syarikat terkemuka daripada pelbagai sektor termasuk automotif.

Mengikut rekod sepanjang tahun lalu hampir 9,000 perantis dan 2,000 bakat sedia ada telah mendaftar di bawah ADI Perantisan dengan lebih 1,500 syarikat merentas pelbagai sektor utama seluruh negara.

ADI Perantisan turut menawarkan insentif RM1,000 sebulan kepada perantis. Bayaran ini adalah tambahan kepada gaji yang dibayar oleh majikan, dengan syarat kehadiran latihan mencapai sekurang-kurangnya 20 hari dalam bulan tersebut.

 

SELESAIKAN ISU KETIDAKPADANAN KERJA

Dalam pada itu Noor Azlina berkata isu ketidakpadanan pekerjaan dan kemahiran turut dilihat antara cabaran utama yang dihadapi lepasan IPT ketika ini.

Situasi itu berlaku apabila kemahiran, pengetahuan dan kompetensi yang dimiliki oleh siswazah tidak selaras dengan keperluan sebenar industri.

Akibatnya, terdapat lepasan IPT sukar memperoleh pekerjaan sesuai walaupun memiliki kelayakan akademik yang baik, manakala majikan pula menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran diperlukan.

“Di sinilah fungsi ADI apabila membuka peluang kepada graduan untuk menjalani latihan dan pembelajaran dalam persekitaran kerja sebenar. Pengalaman ini membolehkan mereka memahami proses kerja, budaya organisasi serta penggunaan teknologi yang digunakan industri.

“Apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan, graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah turut mempunyai pengalaman industri yang relevan. Situasi ini membantu mengurangkan jurang kemahiran yang sering menjadi cabaran dalam kalangan graduan baharu,’’ katanya.


Pendekatan “train and place” antara penyelesaian efektif kepada isu ketiadaan pengalaman kerja dalam kalangan graduan baharu.

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini, seramai 2.06 juta individu berkelulusan tertiari masih bekerja dalam pekerjaan yang tidak setara dengan tahap kelayakan akademik mereka.

Keadaan itu menggambarkan isu ketidakpadanan pekerjaan dan kemahiran yang semakin ketara dalam kalangan siswazah, sekali gus menimbulkan cabaran kepada usaha memanfaatkan bakat serta kelayakan yang dimiliki oleh tenaga kerja berpendidikan tinggi.

“Pendidikan akademik dan latihan kemahiran tidak seharusnya dilihat sebagai dua laluan yang bersaing, sebaliknya perlu saling melengkapi dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan, kompeten dan berkemahiran tinggi.

“Negara memerlukan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi terutamanya dalam kalangan lepasan IPT. Kelompok ini merupakan antara aset paling berharga dalam memastikan daya saing industri terus diperkukuh serta pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertingkatkan secara mampan,” katanya.

 

ADI MEMPERKASAKAN TVET

Sementara itu, Ketua Jabatan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn, Dr Azita Ali berkata ADI menjadi antara platform penting dalam memperkukuh TVET menerusi pelaksanaan latihan industri yang menepati kehendak sektor pekerjaan semasa.

Beliau berkata pendekatan berkenaan membolehkan peserta menerima pendedahan kepada teknologi, proses kerja dan amalan industri terkini, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas menamatkan latihan.

Katanya, ini juga seiring dengan aspirasi TVET negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, melalui penglibatan aktif pihak industri dalam merangka kurikulum, model pembelajaran kini beralih kepada pendekatan berasaskan permintaan.

“Keberkesanan ADI bukan sahaja mampu melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan ke tahap optimum, malah menjadi penyelesaian strategik bagi mengurangkan kebergantungan negara pada tenaga kerja asing secara berperingkat,’’ katanya.

Beliau berkata melalui akses secara langsung kepada teknologi industri, peserta terutamanya graduan baharu dapat mengasah kemahiran praktikal menggunakan teknologi terkini. 


Ketua Jabatan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional UTHM Dr Azita Ali

Katanya pengalaman mengendalikan peralatan dan teknologi moden yang digunakan oleh syarikat-syarikat besar bukan sahaja memperkukuh keyakinan diri golongan itu, malah membolehkan mereka memasuki alam pekerjaan dengan lebih bersedia.

Mengulas lanjut, Azita berkata UTHM juga antara institusi pengajian tinggi yang menjadi pelopor dalam menjayakan pelaksanaan ADI, sekali gus turut komited memperkasakan agenda TVET negara.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), iaitu pelajar mengikuti pengajian selama tiga tahun di universiti bagi mengukuhkan penguasaan teori dan kemahiran makmal sebelum menjalani latihan industri secara intensif selama setahun di syarikat yang terlibat.

Pendekatan itu katanya membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam persekitaran kerja sebenar, sekali gus meningkatkan kompetensi teknikal, pengalaman industri dan kebolehpasaran mereka sebaik menamatkan pengajian.

WBL merupakan pendekatan latihan modular yang mengintegrasikan pengalaman kerja sebenar di syarikat atau kilang sebagai komponen utama pembelajaran bagi membolehkan peserta memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf.

Berbeza dengan latihan industri  yang lazimnya dilaksanakan sebagai pelengkap kepada program pengajian, WBL meletakkan industri sebagai platform pembelajaran utama, dengan peserta menjalani latihan dan pembelajaran di tempat kerja sebaik sahaja menyertai program berkenaan.

“Kita akan lihat proses ini diperkukuh melalui bimbingan eksklusif daripada pakar industri, melibatkan pemindahan ilmu praktikal berlaku secara realistik melalui penyelesaian masalah teknikal yang kompleks.

“Kesannya, ADI berjaya melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten secara teori, malah berkemahiran dengan teknologi industri  serta tangkas beradaptasi dengan evolusi industri,” katanya.

 

BERI MANFAAT

Mengulas lanjut Azita berkata, ADI dilihat terus membuktikan keberkesanannya dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri apabila memberi manfaat yang signifikan serta menyeluruh kepada semua pemegang taruh yang terlibat.


Negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Melalui inisiatif itu, graduan bukan sahaja memperoleh kelulusan akademik yang diiktiraf, malah turut dilengkapi pengalaman industri yang kukuh dan relevan dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.

Keadaan tersebut meningkatkan keyakinan majikan untuk menyerap graduan terus ke alam kerjaya tanpa sebarang keraguan terhadap tahap kompetensi mereka.

‘’Ia membantu mengurangkan risiko kesilapan dalam pengambilan pekerja serta menjimatkan kos latihan yang lazimnya perlu ditanggung oleh syarikat.

‘’Selain memberi manfaat kepada graduan dan industri, program ADI turut memperkukuh peranan universiti dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Kerjasama erat dengan pihak industri membolehkan institusi pengajian tinggi memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa dinamik, relevan dan selari dengan perkembangan teknologi semasa,’’ katanya.

Beliau berkata melalui integrasi teknologi serta amalan industri terkini ke dalam silibus pembelajaran, universiti berupaya mengekalkan kualiti dan relevansi pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar.

Keberkesanan program itu juga dilihat mampu meningkatkan imej universiti sebagai pusat kecemerlangan TVET yang berwibawa, sekali gus memperkukuh kepercayaan industri untuk terus menjalinkan kerjasama strategik pada masa hadapan.

‘’Program ADI dilihat sebagai model kolaborasi mampan yang bukan sahaja memperkasa kebolehpasaran graduan, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri negara yang semakin mencabar.’’tambah Azita.

 

KEKAL RELEVAN

Dalam pada itu, Azita berkata ADI dijangka terus relevan dalam landskap pekerjaan masa hadapan dengan berperanan sebagai penghubung antara kepantasan inovasi digital dan keperluan kepakaran teknikal yang semakin kritikal dalam sektor industri.

pic-8

Beliau berkata walaupun teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kini semakin meluas penggunaannya merentasi pelbagai sektor, ADI dilihat kekal signifikan dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memiliki keupayaan teknikal dan pengalaman praktikal yang tidak dapat digantikan sepenuhnya oleh teknologi tersebut.

‘’AI sememangnya berupaya mempercepatkan pemprosesan data dan automasi pelbagai proses kerja, namun teknologi itu masih mempunyai batasan dalam aspek kemahiran teknikal berasaskan pengalaman, keupayaan mendiagnosis kerosakan fizikal yang kompleks serta kebijaksanaan membuat keputusan dalam situasi sebenar di tempat kerja.

‘’Selain itu, elemen insaniah seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah secara praktikal terus menjadi kelebihan utama tenaga kerja manusia yang sukar ditandingi oleh sistem automasi,’’ katanya.

Melalui pelaksanaan ADI, graduan diperkasakan dengan gabungan kemahiran teknikal yang mantap serta pendedahan industri yang menyeluruh, sekali gus melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja celik digital tetapi juga memiliki kepakaran praktikal yang tinggi dalam bidang masing-masing.

Pendekatan berteraskan industri yang diterapkan menerusi program itu membolehkan graduan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa tanpa mengabaikan kemahiran teknikal yang menjadi tunjang kepada operasi industri.

‘’Sehubungan itu saya berpandangan ADI dijangka terus menjadi platform pembangunan bakat yang strategik dan mampan dalam memastikan negara mempunyai bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi, serta memenuhi keperluan industri dan berupaya berdaya saing di peringkat global,’’ katanya.

 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567238