MINA, 23 Mei (Bernama-SPA) -- Kementerian Perdagangan Arab Saudi memaklumkan lebih 243 juta barangan keperluan dibekalkan ke pasar dan premis runcit di seluruh Makkah serta kawasan suci bagi memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi keperluan harian jemaah haji, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Bekalan yang tersedia di pasaran sejak awal Zulhijjah itu merangkumi lebih 121.6 juta botol air, 82.2 juta pek produk tenusu, jus dan minuman ringan, 31.3 juta buku roti serta lebih 7.9 juta blok ais.
Bagi menampung permintaan besar itu, kapasiti pengeluaran harian dipertingkat kepada lebih 32.6 juta botol air, 24.7 juta pek susu dan jus, 8.8 juta buku roti serta 2.2 juta blok ais.
Kementerian memaklumkan pasukan pemeriksaan lapangannya akan terus menjalankan pemantauan dan pengawasan bekalan secara rapi di semua pasar serta premis perniagaan.
Operasi kawal selia berterusan itu bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan tidak terputus, selain meningkatkan kesiapsiagaan keseluruhan perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji.
-- BERNAMA-SPA