KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Khazanah Nasional Berhad membuka semula Pejabat Pos Besar Lama (PPBL) di Blok 2 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad kepada orang awam, sekali gus menghidupkan semula mercu tanda bersejarah itu sebagai destinasi budaya dan kulinari di ibu negara.
Pembukaan itu merupakan projek pemuliharaan warisan ketiga dilaksanakan Khazanah Nasional di Kuala Lumpur selepas Blok 1 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Seri Negara, di bawah inisiatif Dana Warisan serta Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
Menerusi kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata usaha itu bukan sekadar memulihara bangunan lama tetapi turut memberi nafas baharu kepada Kuala Lumpur sebagai destinasi yang mempunyai identiti tersendiri.
“Melalui pemuliharaan aset warisan, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa akan terus meneroka bandar raya ini, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi tempatan, memperkukuh identiti budaya negara dan merancakkan ekosistem pelancongan serta ekonomi bandar.
“Berteraskan kekayaan tradisi kulinari Malaysia, termasuk elemen warisan budaya yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), PPBL memperlihatkan bagaimana warisan boleh menjadi relevan, inklusif dan mampan untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Hadir sama pada majlis pembukaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Menurut Khazanah, PPBL yang sebelum ini berfungsi sebagai Pejabat Pos Besar utama Kuala Lumpur ditransformasikan menjadi ruang kulinari berteraskan warisan yang menghimpunkan lapan jenama tempatan dan menawarkan pengalaman berasaskan makanan, budaya serta komuniti.
Bersempena pembukaan itu, Khazanah turut melancarkan kempen Warkah Untuk Malaysia yang berlangsung dari 23 Mei hingga 31 Julai bagi mengajak orang ramai berkongsi harapan dan aspirasi terhadap negara melalui poskad tulisan tangan atau platform digital.
Kempen itu menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian melalui ruang penulisan khas di lokasi terpilih termasuk PPBL, atau menerusi platform dalam talian.
Inisiatif itu bertujuan menghimpunkan kisah dan suara rakyat Malaysia yang mencerminkan semangat perpaduan, harapan dan rasa cinta pada negara.
Poskad yang terpilih akan dijadikan video yang akan diterbitkan bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dari 31 Ogos hingga 16 Sept 2026.
PPBL dibuka kepada orang awam mulai hari ini (23 Mei), dari 10 pagi hingga 10 malam.
-- BERNAMA