KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kebajikan serta masa depan pekerja gig terus menjadi perhatian kerajaan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang memberikan tumpuan kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan peluang pembangunan kerjaya.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata antara usaha yang sedang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuklah Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) dengan peruntukan RM20 juta bagi membantu meningkatkan daya tahan ekonomi pekerja.
"Selain itu, Program Kecerdasan Buatan (AI) MyMahir bernilai RM110 juta yang memberikan pendedahan kepada kemahiran berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pekerja gig termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan hampir 1,000 rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh hari ini.
Ramanan berkata pekerja gig juga berpeluang mengikuti latihan teknikal menerusi Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM), di samping memanfaatkan platform MYFutureJobs oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya yang lebih luas.
Dalam pada itu, katanya sebuah portal e-aduan pekerja gig turut diwujudkan bagi memudahkan akses kepada maklumat berkaitan hak pekerjaan, perlindungan sosial serta saluran aduan secara lebih sistematik.
Beliau berkata pembangunan sektor gig perlu digerakkan secara bersama oleh kerajaan, syarikat penyedia platform dan pekerja sendiri agar ekosistem pekerjaan yang diwujudkan lebih stabil, inklusif dan mampan untuk jangka panjang.
Pada majlis itu, Ramanan turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada rakan Grab sebagai tanda penghormatan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam membantu melancarkan urusan harian masyarakat.
-- BERNAMA