PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama strategik mendepani krisis bekalan bahan api dan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dunia, terutama bagi sumber input kritikal pertanian termasuk baja, produk susu dan bijirin.
Malaysia turut menzahirkan keyakinan terhadap sistem kawal selia New Zealand bagi produk pertanian dan menggalakkan negara berkenaan meneroka peluang perkongsian kepakaran dalam bidang itu.
Perkara itu dizahirkan ketika sesi kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Michael Walsh ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak di sini semalam.
Pertemuan itu adalah susulan kepada sesi perbincangan terdahulu yang diadakan pada September 2025 dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan pertanian dua hala antara Malaysia dan New Zealand.
KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan New Zealand juga menawarkan peluang pembangunan kapasiti bagi pegawai kementerian berkenaan melalui biasiswa ASEAN-New Zealand Manaaki, selain kerjasama sedia ada di bawah Jawatankuasa Sanitari dan Fitosanitari (SPS) Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand.
Isham turut menjemput pihak New Zealand ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept 2026 di Serdang yang mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Rekod perdagangan pertanian antara Malaysia dan New Zealand sehingga Disember 2025 mencatatkan nilai sebanyak RM5.57 bilion, iaitu eksport Malaysia merangkumi bahan makanan ternakan manakala import utama dari New Zealand terdiri daripada produk tenusu.
Produk tenusu kekal sebagai komponen eksport terbesar New Zealand ke Malaysia, menyumbang kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan dua hala bagi sektor itu.
Selain itu, kedua-dua negara turut mengekalkan kerjasama erat melalui platform serantau dan pelbagai hala, termasuk MNZFTA dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).
Malaysia dan New Zealand juga akan meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.
-- BERNAMA