EKONOMI

Johor Super Lane Singkatkan Garis Masa Projek, Sokong Sasaran Pelaburan RM140 Bilion

22/05/2026 02:12 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Inisiatif Johor Super Lane (JSL), mekanisme laluan pantas yang berjaya mengurangkan tempoh pengoperasian projek industri kepada hanya 11 bulan, dijangka menjadi antara tunjang utama kerajaan negeri dalam mencapai sasaran pelaburan RM140 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss berkata mengikut standard, proses kelulusan sesebuah projek sehingga boleh beroperasi biasanya memakan masa yang lama, iaitu antara 18 dan 24 bulan.

“Melalui JSL, kita bukan sahaja mengurangkan kerenah birokrasi, malah memberi isyarat jelas kepada pelabur global bahawa Johor amat serius dalam menawarkan ekosistem kemudahan menjalankan perniagaan yang terpantas di rantau ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Inisiatif JSL dilaksanakan di Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J), yang bertindak sebagai Pusat Sehenti Pelaburan Negeri Johor untuk mempercepat semua urusan pelaburan dan pembangunan.

Natazha berkata langkah ini merupakan usaha nyata kerajaan negeri yang mahu memberi tumpuan penuh kepada kemudahan menjalankan perniagaan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau berkata ini amat penting bagi merealisasikan unjuran 25,000 peluang pekerjaan kategori profesional, teknikal dan pengurusan (PMET) yang disasarkan bagi tahun ini. 

Bagi memastikan manfaat pelaburan asing ini turut dirasai usahawan domestik, katanya Invest Johor telah menyelaraskan data bersama SME Corp yang kini menyelia kira-kira 20,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Johor.

Natazha berkata kemasukan pelabur asing bermodal besar terutamanya dari Singapura dan China dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pusat data, akan membuka ruang pasaran yang luas untuk vendor tempatan.

Tahun lepas, Johor mengukuhkan statusnya sebagai destinasi pelaburan utama negara selepas merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi berjumlah RM110 bilion.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560248