KUANTAN, 22 Mei (Bernama) -- Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) kini berpeluang memasarkan produk mereka di MADANI Mart sebagai langkah memperluas pasaran, meningkatkan jualan serta memperkenalkan produk tempatan kepada lebih ramai pengguna.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Pengerusi Yayasan MADANI Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pihaknya memberikan kelonggaran kepada outlet untuk menerima produk daripada IKS, antara lain sebagai inisiatif membantu peniaga tempatan.
"Kita galakkan pemilik outlet untuk bantu IKS dengan menempatkan kira-kira 10 peratus produk usahawan di kedai mereka. Jadi usahawan Kuantan, misalnya yang ada produk kerepek, rempeyek atau produk lain boleh runding terus dengan pemilik outlet bagi memudahkan urusan pemasaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan MADANI Mart Cawangan Jalan Dato' Wong Ah Jang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, di sini hari ini.
Cawangan itu ialah MADANI Mart kedua selepas pembukaan pertama di Indera Mahkota 8 (IM8) di sini, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 April lepas.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata pihaknya juga telah menerima lebih 200 permohonan daripada pelbagai pihak untuk mengusahakan MADANI Mart.
Setakat ini 20 pengusaha telah melepasi peringkat saringan awal dan sedang melalui proses pembangunan secara berperingkat, tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan pematuhan kepada standard MADANI Mart.
"Dua lagi outlet dijangka dibuka pada bulan depan, masing-masing di DUN Inderapura di sini dan Kuala Lumpur. Kita berharap MADANI Mart ini dapat dikembangkan secepat mungkin bagi memudahkan rakyat mendapat barang keperluan asas berhampiran mereka," katanya.
MADANI Mart menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia dengan matlamat memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.
-- BERNAMA