AM

FRIM Terajui Usaha Pemuliharaan Flora Batu Kapur Negara

22/05/2026 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (BERNAMA) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini menerajui usaha pemuliharaan serta dokumentasi flora batu kapur negara yang menyokong kepelbagaian flora dan fauna yang tinggi, selain menempatkan banyak spesies endemik serta terancam yang tidak wujud di habitat lain. 

FRIM dalam satu kenyataan hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa, memaklumkan bahawa inisiatif itu penting memandangkan ekosistem batu kapur yang terbentuk sejak berjuta-juta tahun merupakan habitat bagi tumbuhan yang telah menyesuaikan diri dengan lapisan tanah yang nipis, kering, beralkali dan kurang nutrien.

Antara spesies yang sering dijumpai di kawasan berkenaan termasuklah asam batu (Begonia), balsam (Impatiens) serta beberapa jenis orkid yang hanya mampu hidup di lapisan tanah nipis, kering dan beralkali.

"Sehingga kini, kira-kira 1,300 spesies flora batu kapur telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia, iaitu kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan flora negara daripada anggaran 908 bukit yang direkodkan," menurut kenyataan itu. 

FRIM memaklumkan ancaman daripada aktiviti pembangunan, kuari, perlombongan dan perubahan guna tanah kini diberi perhatian khusus melalui Sasaran 8 Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030, selaras dengan komitmen Malaysia untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan sebagai kawasan perlindungan menjelang 2030.

Dalam menghadapi cabaran itu, menurut FRIM, dokumentasi flora menjadi langkah penting untuk merekod, mengenal pasti dan menilai tahap kepelbagaian serta status pemuliharaan tumbuhan, di samping menentukan keutamaan kawasan untuk dipelihara. 

Melalui Projek Dokumentasi Flora Semenanjung Malaysia yang dimulakan sejak 2005, pelbagai spesies baharu berjaya ditemukan termasuk Gymnostachyum kanthanense, Meiogyne kanthaensis dan Vatica kanthanensis di Gunung Kanthan, Perak pada 2014.

Turut ditemukan antara 2016 hingga 2024 ialah spesies Impatiens chikuensis, I. glaricola, I. vinosa, Coleus rafidahiae dan Gymnostachyum calcicola di Kelantan; orkid Thrixspermum merapohense serta paku pakis Asplenium merpohense di Merapoh, Pahang selain Coleus hairulii di Kedah.

Penyelidikan itu turut memberikan penekanan kepada spesies endemik terancam seperti Impatiens vinosa dan Begonia jayaensis yang berdepan dengan ancaman serius akibat gangguan habitat, selain merekodkan penemuan baharu orkid Didymoplexis micradenia serta Chiloschista exuperei di Perak, Sohmaea teres di Kedah dan Exacum tenue di Kelantan.

Sebagai langkah proaktif, FRIM telah menyediakan satu Kertas Pertimbangan semasa Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara ketiga (MBN 3) pada Ogos 2016 bagi mencadangkan kerjasama kerajaan negeri dalam pelaksanaan penyelidikan biodiversiti batu kapur.

Mengenai taburan bukit batu kapur di Semenanjung Malaysia, Kelantan mencatat jumlah tertinggi dengan 298 bukit, diikuti Pahang (183), Kedah (173), Perak (138), Perlis (103), manakala Selangor dan Terengganu masing-masing tiga sementara Negeri Sembilan (dua) dan Johor (satu).

FRIM yang memperoleh pembiayaan Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) bagi projek di Kelantan dan Perlis serta dana Rapid Biodiversity Assessment di Batu Caves, Selangor, membentangkan satu Kertas Makluman mengenai status ekosistem bukit batu kapur itu dalam Mesyuarat MBN pada 29 Julai 2024.

“Sehubungan dengan itu, cadangan untuk merangka sebuah Pelan Tindakan Batu Kapur Kebangsaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjadi semakin signifikan sebagai kerangka panduan pengurusan secara sistematik,” menurut kenyataan itu.

FRIM memaklumkan beberapa cadangan pemuliharaan telah dikenal pasti seperti menghasilkan senarai keutamaan kepentingan bukit batu kapur, merangka strategi pengurusan in-situ dan ex-situ, menguatkuasakan status perlindungan, menambah baik Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), serta memperkukuh zon penampan di sekeliling bukit.

"Walaupun bukit batu kapur tidak berada dalam lingkungan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected), hasil kajian flora oleh FRIM ini boleh digunakan sebagai sumber maklumat utama oleh pihak pembuat dasar bagi memudahkan perancangan pembangunan yang berkesan serta mentadbir ekosistem ini secara lestari," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560269