JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Labuan Serbu Rumah Simpan Diesel, Rampasan Berjumlah Lebih RM100,000

22/05/2026 01:20 PM

LABUAN, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas diesel serta peralatan berkaitan dengan nilai keseluruhan RM106,570.50 dalam serbuan di sebuah rumah dijadikan lokasi simpanan haram bahan api itu di Kampung Tanjung Aru di sini, semalam. 

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata serbuan pada 9.45 pagi di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Ops Keberhasilan dilaksanakan dengan kerjasama polis. 

Pemeriksaan di premis itu menemukan tiga Intermediate Bulk Container (IBC) dengan setiap satu berkapasiti 1,000 liter mengandungi cecair disyaki diesel.

“Jumlah diesel yang ditemukan dianggarkan sebanyak 2,870 liter. 

“Pasukan serbuan juga menemukan tiga pam elektrik dan hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tangki tambahan kenderaan dipercayai digunakan untuk memindahkan barang kawalan itu,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Junaidah berkata premis itu kosong semasa serbuan dilakukan dan dipercayai dijadikan sebagai lokasi transit dan tempat penyimpanan sementara sebelum bahan api itu dipindahkan ke lokasi lain. 

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan menyimpan barang kawalan tanpa kelulusan yang sah. 

“KPDN Labuan memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam penyelewengan barangan kawalan termasuk penyimpanan, pemindahan dan penjualan tanpa kelulusan yang sah,” katanya. 

Junaidah berkata KPDN Labuan akan mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi dengan individu atau sindiket yang cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560233