JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Pulau Pinang Sita 51 Kereta Mewah Bernilai RM14 Juta

22/05/2026 03:00 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 51 kereta mewah bernilai RM14 juta atas pelbagai kesalahan berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi Ops Luxury di seluruh negeri dari awal Januari hingga semalam.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata sebanyak 124 tindakan termasuk saman diambil terhadap pemilik kenderaan mewah kerana gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan.

“Kami juga mengesan ketirisan hasil kerajaan sebanyak RM175,236.92 akibat kegagalan pemilik kenderaan memperbaharui LKM dan perlindungan insurans selain ada kereta BMW dengan LKM tamat tempoh sejak 2020 dan Jaguar dari 2021.

“Operasi turut mengesan sebuah Ford Mustang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2022 dengan kadar cukai jalan tahunan kenderaan itu dianggarkan mencecah RM10,900,” katanya pada sidang media di JPJ Pulau Pinang di sini hari ini.

Selain tiga kereta mewah itu, Zulkifly berkata turut disita beberapa kenderaan mewah lain termasuk Toyota Vellfire, Mercedes-Benz, Mini Cooper dan kereta elektrik Hyundai dengan ada di antara pemiliknya berstatus Datuk dan Datuk Seri.

Zulkifly berkata kebanyakan pemilik kenderaan itu memberi alasan terlupa atau jarang menggunakan kenderaan terbabit apabila ditanya mengapa tidak memperbaharui cukai jalan. 

Selain itu, beliau memaklumkan dari Jun hingga 31 Dis tahun lepas, JPJ Pulau Pinang menyita 73 kenderaan mewah dengan anggaran ketirisan hasil kerajaan sebanyak RM88,000 akibat kegagalan memperbaharui cukai jalan.

Beliau berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi itu dari semasa ke semasa bagi mengesan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560270