POLITIK

PKR Teliti Tindakan Bon RM10 Juta Terhadap Rafizi, Nik Nazmi Susulan Lompat Parti - Fuziah

18/05/2026 03:40 PM

JOHOR BAHRU, 18 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang meneliti tindakan untuk mengenakan bon RM10 juta terhadap dua bekas pemimpin kanan parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang melompat parti sebelum mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata beliau mempunyai bukti bahawa mereka telah memasuki parti baharu semalam sekali gus telah melompat parti mengikut perlembagaan PKR.

"Saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia, dalam laman web (parti berkenaan) dengan cap waktu 17 hari bulan.

"Kalau ikut dasar perlembagaan parti, maka mereka telah pun melompat parti pada tarikh itu sebelum mengosongkan kerusi (Parlimen) pada hari ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Rafizi dan Nik Nazmi bahawa bon berjumlah RM10 juta itu tidak terpakai terhadap mereka. 

Sehubungan dengan itu, Fuziah berkata parti itu sedang merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang selain memaklumkan Biro Politik PKR akan bermesyuarat esok bagi membincangkan perkara berkenaan termasuk tindakan terhadap mereka berdua.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi yang mengumumkan keluar parti turut dilaporkan mendakwa tidak terikat dengan bon RM10 juta parti tersebut, susulan telah mengambil langkah mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing terlebih dahulu sebelum keluar parti.

Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa berkata mereka juga akan menyerahkan surat pengosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini.

Pada sama sama, surat peletakan jawatan keluar daripada parti turut akan diserahkan kepada Fuziah, esok.

Rafizi dan Nik Nazmi turut memaklumkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia daripada pengasas yang juga presidennya, Tan Gim Theam, sebagai wadah baharu perjuangan politik mereka.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558553