KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tiga lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta Volkswagen dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori simen di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala ke ibu negara berhampiran Kampung Sungai Chinchin, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.07 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi pada 2.35 pagi, pasukan bomba mendapati empat mangsa tersepit di dalam kereta itu.
”Tiga berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala wanita 27 tahun cedera parah di kepala dan patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata mayat semua mangsa diserahkan kepada polis manakala wanita itu kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata operasi melibatkan enam anggota dan pegawai serta sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak SAC Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata semua mangsa yang menaiki kereta itu penuntut universiti dan dipercayai dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta itu hilang kawalan dan melanggar belakang treler yang bergerak di laluan sama.
Noor Ariffin berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wanita yang cedera juga dirawat di Hospital Selayang.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Faizal Mohd @ Abd Aziz menerusi talian 019-2676097 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 03-61262222 untuk membantu siasatan.
-- BERNAMA